ORANG ramai termasuk bayi di negara itu diberi cecair klorin dioksida di Uganda. FOTO: Agensi
ORANG ramai termasuk bayi di negara itu diberi cecair klorin dioksida di Uganda. FOTO: Agensi
Agensi

WASHINGTON: Seorang pastor dari New Jersey, Amerika Syarikat didakwa memberi cecair peluntur industri kepada 50,000 kanak-kanak di Uganda yang kononnya dikenali sebagai ‘penawar ajaib’ untuk merawat penyakit malaria dan HIV/AIDS.

Daily Mail melaporkan, Pastor Robert Baldwin, 52, bersama seorang tukang tilik warga Britain, Sam Little didakwa melakukan perbuatan itu menerusi satu projek dikenali sebagai MMS atau penyelesaian mineral ajaib kepada rakyat miskin di negara terbabit.

Orang ramai termasuk bayi di negara itu diberi cecair klorin dioksida iaitu sejenis bahan yang boleh menyebabkan loya, muntah, cirit birit serta dehidrasi, kata Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) Amerika Syarikat.

Lelaki terbabit dikatakan menghantar sejumlah besar MMS ke negara Afrika dan melatih seramai 1,200 pemimpin agama untuk merawat kanak-kanak terbabit ketika menghadiri upacara keagamaan.

Malah, dia dikatakan turut menawarkan telefon bimbit kepada mereka yang komited untuk menjalankan projek berkenaan, lapor The Guardian.

“Saya hanya ingin membantu mereka dengan menggunakan penawar semula jadi,” katanya Baldwin kepada NJ.com selepas menafikan dakwaan itu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2019 @ 5:02 PM