KYAW (kiri) mendukung anak perempuannya ketika diiringi keluar dari mahkamah, semalam. - Reuters
KYAW (kiri) mendukung anak perempuannya ketika diiringi keluar dari mahkamah, semalam. - Reuters

Yangon: Mahkamah Myanmar, hari ini menolak ikat jamin terhadap dua wartawan Reuters yang didakwa menurut Akta Rahsia Rasmi yang membolehkan mereka dijatuhi hukuman penjara 14 tahun, dalam kes yang mencetuskan kemarahan berhubung kebebasan akhbar.

Wartawan warga tempatan itu, Wa Lone, 31, dan Kyaw Soe Oo, 27, dituduh memiliki dokumen sulit berkaitan dengan kempen keganasan dilakukan tentera ke atas minoriti Islam Rohingya.

Keganasan tentera di utara negeri Rakhine memaksa hampir 700,000 penduduk Islam Rohingya menyeberangi sempadan ke Bangladesh sejak Ogos lalu.

Mereka menceritakan bagaimana jenayah rogol, pembunuhan beramai-ramai dan kes kebakaran khianat dilakukan tentera.

“Mereka tidak boleh diikat jamin menurut undang-undang dan mahkamah memutuskan untuk tidak memberikan mereka diikat jamin,” kata Hakim Ye Lwin kepada mahkamah Yangon.

Wartawan berkenaan, yang ditahan sejak Disember lalu berkata, mereka diberikan dokumen itu oleh dua anggota polis yang menjemput kedua-duanya makan malam di pinggir Yangon.

Ketika meninggalkan restoran, mereka ditahan sebelum sempat meneliti dokumen berkenaan.

Keputusan hari ini penting ketika sesi pendengaran pra-perbicaraan dijangka berlanjutan beberapa bulan sebelum mahkamah secara rasmi memutuskan sama ada untuk meneruskan kes itu atau tidak. – AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Februari 2018 @ 12:07 PM