SU Win menitiskan air mata ketika meminta Suu Kyi membebaskan suaminya. FOTO/AFP
SU Win menitiskan air mata ketika meminta Suu Kyi membebaskan suaminya. FOTO/AFP
AFP

YANGON: Isteri kepada salah seorang daripada dua wartawan Reuters yang dipenjara di Myanmar merayu Aung San Suu Kyi, hari ini, supaya membebaskan suaminya demi anak mereka, ketika pemimpin negara itu dikritik kerana mendiamkan diri berhubung kes terbabit.

Wa Lone, 32, dan Kyaw Soe oo, 28, ditahan ketika melakukan liputan terhadap kekejaman operasi tentera sehingga mengakibatkan kira-kira 700,000 etnik Rohingya melarikan diri ke Bangladesh, tahun lalu.

Semalam, sebuah mahkamah di Yangon mendapati mereka bersalah di bawah Akta Rahsia Rasmi dan menghukum mereka penjara tujuh tahun.

Keputusan itu menimbulkan kemarahan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kesatuan Eropah (EU), Amerika Syarikat (AS) serta beberapa kumpulan media dan hak asasi lain.

Isteri Kyaw Soe Oo, Chit Su Win, 23, menitiskan air mata, ketika meminta pemenang Hadiah Nobel itu supaya membebaskan suaminya dan bapa kepada anak perempuan mereka yang berusia tiga tahun.

“Saya mahu suami saya pulang. Saya menangis setiap kali anak perempuan saya bertanyakan mengapa bapa tidak ada bersama. Adakah dia tidak menyayangi saya?”

Minggu lalu, satu laporan PBB menuduh Suu Kyi gagal menggunakan kuasa moralnya untuk membendung keganasan, tahun lalu dan menggesa jeneral tentera didakwa atas tuduhan pembunuhan beramai-ramai.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 September 2018 @ 10:59 PM