Agensi

JAKARTA: Pihak berkuasa pilihan raya Indonesia di Malaysia mengesahkan proses undian bagi rakyat negara itu di sini, diteruskan seperti yang dijadualkan hari ini walaupun siasatan dakwaan penyalahgunaan kertas undi masih diteruskan.

The Jakarta Post melaporkan, Ketua Badan Pengawasan Pemilihan Umum (Bawaslu), Abhan berkata agensi itu belum membuat sebarang keputusan berhubung penemuan kertas undi yang sudah bertanda di dua lokasi berbeza di Malaysia, namun memastikan siasatan itu tidak akan menjejaskan proses pengundian di negara itu.

Lebih 1 juta pengundi mendaftar untuk mengundi hari ini di negara itu, tetapi beberapa pihak menuntut supaya proses undian dijadualkan semula sementara menunggu hasil siasatan terhadap dakwaan penipuan kertas undi.

Sebuah video tular di media sosial pada Khamis lalu, memaparkan serbuan ke atas kedai kosong di Selangor, Malaysia yang membawa kepada penemuan kertas undi yang sudah bertanda memihak kepada calon presiden dan calon legislatif tertentu.

Abhan berkata sekumpulan pegawai dari agensi dan Suruhanjaya Pilihanraya Umum (KPU) turut melawat lokasi kertas undi itu ditemui di Taman Universiti Sungai Tangkas Bangi dan sebuah rumah di Bandar Baru Bangi.

Walau bagaimanapun, pegawai KPU tidak dibenarkan masuk berikutan larangan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurut Abhan pasukannya dan Kementerian Luar sudah memfailkan permohonan untuk mengakses lokasi tersebut, tetapi masih belum mendapat kebenaran.

“Kami berharap diberikan kebenaran untuk mengakses lokasi itu tidak lama lagi. Ia akan memudahkan kami untuk mengesahkan kesahihan kertas undi yang sudah bertanda itu,” katanya semalam.

Hampir 1 juta warga Indonesia daripada keseluruhan 2 juta rakyatnya berada di Malaysia. Pengundi di Indonesia akan mengundi pada Rabu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 April 2019 @ 11:15 AM
PEGAWAI KPU, Hasyim Asy'ari (kanan); pegawai Bawaslu, Ratna Dewi Pettalolo (tengah) dan pegawai Jawatankuasa Pilihan Raya Luar Negara (PPLN) Yusron Ambary (kiri) memeriksa gudang yang menempatkan kertas undi untuk pengundi negara itu di Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur.
PEGAWAI KPU, Hasyim Asy'ari (kanan); pegawai Bawaslu, Ratna Dewi Pettalolo (tengah) dan pegawai Jawatankuasa Pilihan Raya Luar Negara (PPLN) Yusron Ambary (kiri) memeriksa gudang yang menempatkan kertas undi untuk pengundi negara itu di Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur.