ANA de Armas. FOTO AFP
ANA de Armas. FOTO AFP
AFP

New York: Dua peminat aktres Cuba-Sepanyol, Ana de Armas memfailkan saman terhadap Universal Pictures kerana didakwa menipu.

Akibatnya, mereka mengeluarkan wang untuk menonton filem berdasarkan trailer dan bahan promosi yang memaparkan de Armas sebagai pelakon.

CNN melaporkan Conor Woulfe dan Peter Michael Rosza memfailkan tindakan undang-undang itu di mahkamah persekutuan di Amerika Syarikat.

Mereka mendakwa iklan filem itu pada 2019 untuk filem Yesterday adalah salah, menipu dan mengelirukan, kerana de Armas tidak muncul dalam sebarang babak filem.

Tuntutan itu disiarkan dalam laman web berita hiburan Variety.

Woulfe dan Rosza berkata, mereka masing-masing membayar AS$3.99 (kira-kira RM16) untuk menonton filem itu yang dianggap sebagai pengiklanan palsu, menipu dan mengelirukan.

Tuntutan itu mendakwa de Armas yang muncul dalam filem terbaharu James Bond, No Time To Die adalah seorang aktres terkenal di AS dan dunia kerana filemnya yang berjaya dan penampilannya dalam pelbagai media lain.

"Plaintif mendakwa penerbit menggunakan de Armas kerana populariti dan pengaruh untuk mempromosikan filem dengan memasukkannya dalam babak filem Yesterday," katanya.

Filem Yesterday yang diarahkan Sanny Boyle mengisahkan perjalanan hidup penulis lirik, Jack yang menjadi satu-satunya individu yang tahu mengenai kumpulan The Beatles, selepas dia terbabit dengan kemalangan.

Jack kemudian menjadi terkenal selepas mendakwa kumpulan itu adalah miliknya.

De Armas dikatakan menjadi watak dalam babak percintaan dengan teraju utama filem itu.

Namun, babaknya dipotong pada proses akhir suntingan.

Filem itu turut dibintangi Homesh Patel dan Lily James.

Saman itu menyatakan populariti kedua-dua pelakon terbabit tidak berupaya untuk memaksimumkan jualan tiket dan jualan filem serta sewaan sehingga menggunakan de Armas sebagai bahan promosi.

Kedua-dua plaintif, dari San Diego County, California, menuntut sekurang-kurangnya AS$5 juta (kira-kira RM20.95 juta) bagi pihak semua pengguna yang terkesan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 January 2022 @ 7:00 AM