GAMBAR hiasan. FOTO/AGENSI
GAMBAR hiasan. FOTO/AGENSI
Reuters

MANILA: Seorang pegawai kanan Abu Sayyaf dan empat anggota kumpulan militan yang dipercayai dalang di sebalik pengeboman gereja di selatan Filipina, menyerah diri kepada pihak berkuasa semalam, kata ketua polis negara itu, hari ini.

Kammah Pae yang membantu pasangan Indonesia dalam satu serangan bunuh diri pada 27 Januari lalu, menyerah diri kepada tentera kerajaan, kata Oscar Albayalde.

“Dia terpaksa menyerah diri mungkin kerana tidak mahu mati ketika serangan tentera,” kata Albayalde dalam satu sidang media.

Sabtu lalu, tentera Filipina membunuh tiga suspek militan Abu Sayyaf dan mengorbankan lima anggota tentera dalam pertempuran di Patikul, sebuah bandar di wilayah Sulu ketika operasi mencari mereka yang terbabit dalam serangan gereja.

Albayalde berkata, Kammah menafikan pembabitannya dalam pengeboman berkembar di Jolo yang membunuh 23 orang termasuk orang awam dan tentera, tetapi saksi mendakwa melihat dia mengiringi pasangan Indonesia berkenaan.

“Pasukan keselamatan turut merampas alat letupan (IED) dan komponen dari rumahnya.

“Lima suspek berkenaan akan berhadapan dengan pelbagai dakwaan membunuh,” kata Albayalde.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Februari 2019 @ 3:34 PM