IBU pejabat CIA di Langley, Virginia, Amerika Syarikat. FOTO Wikipedia/Library of Congress
IBU pejabat CIA di Langley, Virginia, Amerika Syarikat. FOTO Wikipedia/Library of Congress
Reuters

SEORANG putera kanan Arab Saudi menyatakan keraguan terhadap laporan Agensi Perisikan Pusat (CIA) bahawa Putera Mahkota Mohammed bin Salman (MbS) mengarahkan pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi di Istanbul bulan lalu berkata, agensi itu tidak boleh diharap mencapai rumusan kukuh.

“CIA tidak semestinya adalah piawaian tertinggi kesahihan atau ketepatan dalam menilai keadaan. Contohnya banyak,” kata anggota kanan keluarga diraja, Putera Turki al-Faisal, kepada wartawan di Abu Dhabi, semalam.

Putera itu, bekas ketua perisik Arab Saudi yang juga berkhidmat sebagai duta ke Amerika Syarikat, berkata rumusan agensi itu bahawa Iraq memiliki senjata kimia sebelum pencerobohan AS pada 2003 menunjukkan ia tidak boleh dipercayai.

“Ia adalah penilaian tidak tepat dan salah paling ketara, membawa kepada perang besar dengan ribuan terbunuh.

“Saya tidak melihat mengapa CIA tidak dibicarakan di AS.

“Ini adalah jawapan saya kepada penilaian mereka mengenai siapa yang salah dan siapa yang tidak dan siapa yang melakukan apa yang terjadi dalam konsulat di Istanbul,” katanya pada majlis yang dihoskan kumpulan pemikir Beirut Institute.

CIA merumuskan MbS mengarahkan operasi membunuh Khashoggi, yang mula dilaporkan oleh Washington Post dan memberi taklimat kepada beberapa unit kerajaan AS mengenai penemuan mereka, kata sumber kepada Reuters minggu lalu.

Presiden Donald Trump menyanggah agensi itu mencapai rumusan mengenai pembunuhan itu, berkata sebaliknya ‘mereka berperasaan tertentu’. — Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 November 2018 @ 7:32 PM