JOHN Allen Chau. FOTO Reuters
JOHN Allen Chau. FOTO Reuters
AFP

PEGAWAI polis India berhadapan dengan suku kaum yang membunuh mubaligh Kristian Amerika Syarikat, dalam usaha terbaru mengesan mayat lelaki berkenaan di pulau terpencil itu, kata polis hari ini.

Pasukan polis, yang menaiki bot ke pulau Sentinel Utara yang ditadbir India semalam, ternampak lelaki puak Sentinelese di pantai, lokasi John Allen Chau, dilihat kali terakhir, kata ketua polis daerah, Dependra Pathak.

Menggunakan teropong, pegawai yang berada dalam bot polis kira-kira 400 meter dari pantai, melihat kumpulan lelaki bersenjatakan panah, senjata yang dilaporkan digunakan untuk membunuh Chau ketika mangsa menyampaikan dakyah Kristian kepada mereka.

“Mereka merenung kami dan kami melihat mereka,” kata Pathak.

Mereka kemudian berundur untuk mengelakkan sebarang konfrontasi.

Polis berusaha keras mengelakkan sebarang gangguan kepada kaum Sentinelese, puak pra-Neolitik yang enggan menerima kedatangan orang luar ke pulau mereka, ketika cuba mencari mayat Chau.

Kematian pemuda berusia 27 tahun itu pada 17 November lalu menunjukkan usaha baru untuk melindungi suku kaum ‘terpencil’ terakhir di dunia, yang bahasa dan adat mereka masih misteri kepada dunia luar.

Nelayan yang membawa Chau ke Sentinel Utara, salah satu pulau di Andaman dan Nicobar di Teluk Benggala, berkata mereka melihat puak itu menanam mayat di pantai.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 November 2018 @ 6:57 PM