GAMBAR fail menunjukkan puak orang asli itu keluar ke pantai selepas sebuah bot pengawal pantai India menghampiri pulau berkenaan. - Agensi
GAMBAR fail menunjukkan puak orang asli itu keluar ke pantai selepas sebuah bot pengawal pantai India menghampiri pulau berkenaan. - Agensi
Reuters

PORT BLAIR, INDIA: Seorang pengembara dan pendakwah Kristian dipercayai dibunuh selepas pergi ke sebuah pulau terpencil di Lautan Hindi dihuni satu suku kaum orang asli yang tidak suka dengan kehadiran pengunjung, kata pegawai India kelmarin.

John Allen Chau, 26, dibunuh dan ditanam di pantai di Pulau Sentinel Utara yang didiami suku kaum yang dianggap sebagai puak pra-Neolitik terakhir di dunia dan tidak suka diganggu, ketua polis di Andaman dan Nocobar, Dependra Pathak.

Chau dilaporkan pergi ke pulau itu yang terletak di Kepulauan Andaman dengan menaiki bot nelayan tempatan sebelum mendarat dengan menaiki sebuah kayak pada 15 November lalu dan berhubung dengan puak itu sebelum kembali ke bot.

Sehari selepas itu, dia memberitahu nelayan bahawa dia akan tinggal di pulau itu dan mengarahkan mereka pulang serta menyerahkan satu nota tulisan tangan untuk diberikan kepada seorang rakan.

“Pada keesokan harinya, nelayan itu melihat mayat lelaki itu diheret di pantai sebelum ditanam di dalam pasir.

“Pulau ini bukan tempat untuk dilawati dan ia sangat dilindungi,” kata Pathak.

Beberapa laporan mendakwa, lelaki itu dibunuh puak berkenaan menggunakan panah.

Menurutnya, satu kes bunuh juga difailkan terhadap suspek yang tidak dikenali dan nelayan yang membawa mangsa secara haram ke pulau seluas 60 kilometer persegi itu juga ditangkap serta didakwa.

Pathak berkata, sebuah kapal Peronda Pantai yang membawa polis dan pakar mengenai puak itu belayar untuk meninjau pulau berkenaan serta merangka rancangan untuk mengambil mayat Chau.

Pulau Sentinel Utara terletak kira-kira 50 kilometer dari barat Port Blair, ibu negeri Kepulauan Andaman dan Nicobar.

Pada 2006, dua nelayan yang menceroboh pulau itu mati dibunuh dan mayat mereka gagal dibawa keluar.

Sebuah helikopter Pengawal Pantai yang dihantar untuk mengambil mayat mangsa ditembak dengan anak panah oleh puak itu dan rakaman video kejadian berkenaan tular di Internet.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 November 2018 @ 6:30 AM