RIBUAN pendatang berhenti rehat di Mexico sebelum meneruskan perjalanan ke Amerika. - Agensi
RIBUAN pendatang berhenti rehat di Mexico sebelum meneruskan perjalanan ke Amerika. - Agensi
AFP

Washington: Pentadbiran Presiden Donald Trump bercadang membangunkan bandar khemah untuk ribuan pendatang Amerika Tengah yang berarak di Mexico menuju ke Amerika Syarikat.

Trump membuat pengumuman itu ketika wawancara dengan Fox News dengan Pentagon mengumumkan menghantar 5,200 anggota tentera aktif untuk meningkatkan kawalan keselamatan.

“Jika mereka membuat permohonan suaka, kita akan menahan mereka sehingga dibicarakan.

“Kita akan membina bandar khemah di banyak tempat.

“Kita tidak akan membelanjakan ratusan juta dolar bagi membina struktur (bangunan).

“Kita hanya membina khemah dan mereka perlu menunggu, jika gagal mendapatkan suaka, mereka perlu keluar,” kata Trump.

Menurutnya, pemohon suaka akan kekal dalam tahanan sementara permohonan mereka diproses.

“Jika mahu menunggu, tunggu. Mereka biasanya tidak mendapat suaka.

“Namun kita tidak akan menjadi seperti Obama (bekas Presiden Barack Obama) dan yang lain. Apabila pendatang mengetahui apa yang berlaku, semakin kurang yang datang,” katanya.

Menjelang pilihan raya pertengahan penggal kongres 6 November depan, kempen Trump sejak beberapa minggu lalu, kerap memperkatakan isu rombongan pendatang hingga mencetuskan kebimbangan anti-pendatang dalam kalangan pengundi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Oktober 2018 @ 12:00 PM