YEE
YEE

Chicago: Seorang blogger dari Singapura yang dipenjara kerana menghina pemimpin negara itu diberi perlindungan suaka oleh sebuah mahkamah untuk tinggal di Amerika Syarikat (AS).

Amos Yee, 18, ditahan Imigresen AS sejak Disember tahun lalu selepas dia tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa O’Hare di Chicago.

Pendakwa raya memberitahu, remaja itu mungkin dibebaskan dari pusat tahanan Wisconsin seawal esok.

Hakim Samuel Cole mengeluarkan kehakiman bertulis kelmarin, lebih dua minggu selepas perbicaraan tertutup Yee untuk memohon perlindungan suaka.

“Yee berjaya membuktikan dia sebelum ini dihukum kerana pandangan politiknya dan bimbang dihukum lagi di Singapura,” kata Cole.

Yee meninggalkan Singapura dengan niat untuk mendapatkan perlindungan suaka di AS selepas dipenjara beberapa minggu pada 2015 dan 2016.

Remaja itu dituduh menyakiti perasaan penduduk beragama Islam dan Kristian di Singapura.

Yee juga sering mengkritik pemimpin Singapura melalui laman blog dan laman sosial.

Dia mencetuskan kontroversi pada 2015, apabila memuat naik video yang menghina bekas Perdana Menteri, Lee Kuan Yew tidak lama selepas kematian pemimpin itu. - AP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mac 2017 @ 10:07 AM