SEDUTAN video yang disiarkan pada Julai lalu menunjukkan Jumpei merayu pembebasannya. - AFP
SEDUTAN video yang disiarkan pada Julai lalu menunjukkan Jumpei merayu pembebasannya. - AFP
Agensi

TOKYO: Seorang lelaki dipercayai wartawan bebas Jepun yang diculik di Syria, tiga tahun lalu, sudah dibebaskan, kata jurucakap kerajaan negara itu, kelmarin.

“Kami menerima maklumat daripada Qatar bahawa Jumpei Yasuda sudah dibebaskan. Kami dimaklumkan bahawa dia kini berada di kemudahan imigresen di Antakya di Turki,” kata Ketua Setiausaha Kabinet, Yoshihide Suga.

Katanya, kerajaan sedang memastikan bahawa dia benar-benar Jumpei. Namun, katanya, berdasarkan maklumat yang ada, kemungkinan besar lelaki itu adalah Jumpei sambil menambah isterinya sudah dimaklumkan.

Media Jepun melaporkan bahawa Jumpei, 44, ditangkap cabang kumpulan Al-Qaeda, selepas masuk ke Syria dari Turki pada 2015.

Sejak itu, dia selalu muncul dalam video internet dalam keadaan semakin tidak terurus dengan rambut kian beruban.

Sebuah kumpulan militan pada Ogos lalu menyiarkan video menunjukkan Jumpei bersama seorang lelaki Itali, Alessandro Sandrini yang merayu pembebasan mereka.

Kedua-dua lelaki memakai baju oren dan beberapa lelaki yang bersenjata serta bertopeng dilihat berdiri di belakang mereka.

Video itu tidak memberitahu kumpulan mana yang menawan lelaki berkenaan atau menjelaskan tuntutan mereka secara terperinci.

Jumpei dipercayai diculik kumpulan yang sebelum ini dikenali sebagai Barisan Al-Nusra, bekas cabang kumpulan pengganas Al-Qaeda di utara Syria.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Oktober 2018 @ 7:30 AM