IKLAN di Carousell menawarkan pembantu rumah untuk dijual. FOTO Carousell Singapura
IKLAN di Carousell menawarkan pembantu rumah untuk dijual. FOTO Carousell Singapura
AFP

IKLAN dalam talian di Singapura yang menawarkan pembantu rumah Indonesia untuk dijual, hari ini dikecam sebagai ‘tidak adil dan hina’ dalam ketegangan terbaru antara kedua-dua negara jiran itu berhubung pembantu rumah.

Singapura memiliki hampir 250,000 pembantu rumah, kebanyakannya dari wilayah miskin di Indonesia atau Filipina, yang mengunjungi republik itu untuk memperoleh pendapatan lebih tinggi berbanding di negara mereka.

Walaupun Indonesia kerap membantah mengenai penderaan dan eksploitasi pembantu rumah di Malaysia dan Asia Barat, rungutan mengenai layanan kepada golongan itu di Singapura kurang kedengaran.

Bagaimanapun, laporan bahawa pembantu rumah Indonesia diiklankan untuk dijual atas talian di Carousell mengundang kecaman kumpulan hak asasi.

Iklan itu menggunakan nama ‘maid.recruitment’ dilaporkan menawarkan perkhidmatan beberapa pembantu rumah dari Indonesia, manakala sebahagian lagi menunjukkan pembantu rumah ‘sudah dijual’.

Siaran di laman perdagangan elektronik itu yang beroperasi di beberapa negara Asian dan menggambarkan ia sebagai ‘cara mudah menjual kekacauan dalam hidup anda’ sudah dibuang.

Pengarah Eksekutif NGO Migrant Care Indonesia, Wahyu Susilo, berkata kumpulan itu mengutuk keras iklan berkenaan dan menggesa mereka yang mendalanginya dibawa ke muka pengadilan.

“Ini amat tidak adil dan penghinaan kepada maruah pekerja pendatang,” katanya.

Kementerian Buruh Singapura berkata, ia menyedari kes pembantu rumah ‘dipasarkan secara tidak sesuai’ di Carousell yang beribu pejabat di republik itu, dan mengarahkan ia dibuang dan melancarkan siasatan.

“Mengiklankan pekerja domestik asing seperti bahan komoditi tidak dapat diterima dan satu kesalahan menurut undang-undang tempatan,” menurut kenyataan kementerian.

Agensi pekerjaan yang didapati bersalah melakukan amalan itu boleh ditarik balik atau digantung lesen.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 September 2018 @ 8:47 PM