KEADAAN di pasar raya yang terdapat suspek satu kes tembakan. FOTO/agensi
KEADAAN di pasar raya yang terdapat suspek satu kes tembakan. FOTO/agensi
Agensi

LOS ANGELES : Seorang suspek yang dikehendaki polis susulan satu kes tembak mengurung diri di sebuah pasar raya di sini semalam, dalam apa yang disifatkan media tempatan sebagai satu insiden membabitkan tebusan.

“Pihak berkuasa sedang mencari suspek yang dikehendaki dalam satu kes tembakan dan apabila ia hampir berakhir, suspek bertindak mengurungkan diri di dalam pasar raya #TraderJoes di pusat beli belah #Silverlake,” kata Jabatan Polis Los Angeles (LAPD) menerusi akaun Twitter rasmi mereka.

“Pasukan SWAT sedang berada di lokasi dan kami sedang berusaha menangani perkara ini dengan baik,” kata jabatan itu lagi.

Presiden Donald Trump menerusi kenyataan di Twitter berkata, beliau mengikuti secara dekat insiden berkenaan.

“Suspek mengurung diri. LAPD sedang bekerjasama dengan Pasukan Penguat kuasa Persekutuan,” katanya.

CNN memetik polis sebagai berkata, terdapat kemungkinan suspek menjadikan pengunjung pasar raya terbabit sebagai tebusan selepas melarikan diri ke dalam premis itu.

Devin Field, pengunjung yang sedang memasuki pasar raya itu apabila kejadian berlaku mengesahkan insiden terbabit menerusi beberapa kenyataan di Twitter.

“Saya sedang berjalan apabila sebuah kereta yang melarik diri dari polis terbabas dan melanggar tiang lampu di hadapan pintu masuk. Seorang lelaki bersenjata keluar dan mula menembak ke arah anggota polis. Saya menyorok di sebalik tembok bersama tiga anggota polis sebelum mereka membantu saya keluar dari situ,” katanya yang juga penulis bagi rancangan televisyen Jimmy Kimmel Live TV.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Julai 2018 @ 10:26 AM