PAKAIAN dipakai Shereen ketika membuat laporan di Riyadh yang didakwa sebagai tidak sopan hingga menyebabkan dia disiasat pihak berkuasa. - Twitter
PAKAIAN dipakai Shereen ketika membuat laporan di Riyadh yang didakwa sebagai tidak sopan hingga menyebabkan dia disiasat pihak berkuasa. - Twitter
AFP

Riyadh: Seorang wartawan penyiaran wanita Arab Saudi dilaporkan melarikan diri ke luar negara selepas disiasat pihak berkuasa kerana didakwa berpakaian tidak sopan ketika membuat laporan mengenai pembatalan larangan wanita memandu.

Kontroversi itu sebelum ini mencetuskan perdebatan hangat di media sosial dan Shereen Al-Rifaie difahamkan bersembunyi selepas pihak berkuasa di Riyadh melancarkan siasatan.

Shereen yang bertugas dengan Al-Aan TV yang berpangkalan di Dubai itu, dilaporkan memakai tudung yang longgar dan gaun yang agak terbuka ketika membuat laporan mengenai pembatalan larangan memandu berkenaan.

Video yang tular di media sosial itu menunjukkan Shereen memakai gaun separuh terbuka yang mendedahkan seluar dan blausnya.

Klip video itu mengundang kritikan daripada pihak konservatif di media sosial, malah menyebabkan tersebarnya tanda pagar (hashtag) ‘wanita tidak berpakaian memandu di Riyadh’.

Pihak Berkuasa Am untuk Media Audiovisual Arab Saudi berkata, mereka sudah merujuk kes Shereen itu kepada pihak penyiasat atas tuduhan melanggar peraturan dan perintah dengan memakai pakaian yang tidak sesuai.

Namun, Shereen menafikan tuduhan itu dan memberitahu laman web berita Ajel bahawa dia memakai pakaian yang sesuai ketika membuat laporan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Jun 2018 @ 3:13 AM