LEE (tengah) tiba di Agensi Polis Metropolitan Seoul untuk disoal siasat. - AFP
LEE (tengah) tiba di Agensi Polis Metropolitan Seoul untuk disoal siasat. - AFP

Seoul: Skandal menyelubungi dinasti Korean Air semakin hangat apabila ketua mereka, Lee Myung-hee, ibu kepada dua wanita yang sebelum ini tular akibat sikap baran mereka, ditahan untuk soal siasat kerana didakwa menyerang beberapa pekerjanya.

AFP melaporkan, Lee dituduh menyerang pemandu, pembantu rumah dan seorang buruh binaan yang terbabit dalam projek mengubah suai kediaman beliau serta pembinaan sebuah hotel di bawah rangkaian Korean Air.

Serangan oleh Lee itu mencakupi jeritan kata-kata kesat, menendang dan menampar, malah membaling gunting ke arah mereka.

Rakaman video yang tersebar minggu lalu menunjukkan Lee mengasari pekerja binaan wanita serta mencampak setimbun dokumen ke atas tanah.

Minggu lalu, anak perempuannya, Cho Hyun-ah diarah memberi keterangan kepada pihak berkuasa imigresen susulan tuduhan terbabit menggaji 10 pembantu rumah Filipina untuk bekerja di kediaman keluarganya, tetapi pada masa sama berbohong dengan mendakwa kesemua pembantu rumah itu diambil untuk bekerja di Korean Air.

Undang-undang Korea Selatan melarang rakyat negara itu mengambil warga asing sebagai pembantu rumah.

Sebelum ini, dua lagi anak perempuan Lee yang menyandang jawatan tinggi dalam syarikat penerbangan utama Korea Selatan tular di media sosial dalam dua kejadian digelar ‘amuk kacang’ dan ‘amuk air’ golongan netizen.

Dalam kejadian pertama, anak Lee, Heather Cho dipenjara 12 bulan kerana menyebabkan penerbangan dari New York ke Seoul tergendala 20 minit selepas mengamuk kerana cara dia dihidangkan kacang oleh anak kapal penerbangan Korean Air pada Disember 2014.

Bagi kejadian kedua pula, adik Heather, Emily mencetuskan kontroversi selepas kisahnya mengamuk membaling segelas air ketika mesyuarat menjadi tular.
- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Mei 2018 @ 8:37 AM