MYUNG-Hee ketika sidang memohon maaf kepada media. FOTO/AFP
MYUNG-Hee ketika sidang memohon maaf kepada media. FOTO/AFP
AFP

SEOUL: Skandal menyelubungi dinasti Korean Air semakin hangat apabila ketua mereka, Lee Myung-hee, ditahan untuk soal siasat kerana didakwa menyerang beberapa pekerjanya.

Dua anak perempuan Myung-hee yang menyandang jawatan tinggi dalam syarikat penerbangan utama Korea Selatan itu tular di media sosial baru-baru ini berikutan sikap baran mereka sehingga diberi gelaran kurang menyenangkan oleh netizen.

“Saya memohon maaf atas semua masalah,” kata Myung-hee sambil menundukkan kepalanya sambil melintasi sekumpulan besar wartawan sebelum memasuki ibu pejabat polis Seoul.

Wanita bercermin mata itu dituduh menyerang pemandu, pembantu rumah dan seorang buruh binaan yang terbabit dalam projek mengubah suai kediaman beliau serta pembinaan sebuah hotel di bawah rangkaian Korean Air.

Serangan oleh Myung-hee itu mencakupi jeritan kata-kata kesat, menendang dan menampar malah membaling gunting ke arah mereka.

Rakaman video yang tersebar minggu lalu menunjukkan seorang wanita, dipercayai Myung-hee mengasari seorang pekerja binaan wanita dan mencampak setimbun dokumen ke atas tanah.

Minggu lalu, anak perempuannya, Cho Hyun-ah diarah memberi keterangan kepada pihak berkuasa imigresen susulan tuduhan terbabit menggaji 10 pembantu rumah Filipina untuk bekerja di kediaman keluarganya, tetapi pada masa berbohong dengan mendakwa kesemua pembantu rumah itu diambil untuk bekerja di Korean Air.

Undang-undang Korea Selatan melarang rakyat negara itu mengambil warga asing sebagai pembantu rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Mei 2018 @ 2:13 PM