LELAKI Rohingya membuat pagar buluh sebagai persediaan menghadapi monsun di kem pelarian Kutupalong, Ukhia, Bangladesh. - AFP
LELAKI Rohingya membuat pagar buluh sebagai persediaan menghadapi monsun di kem pelarian Kutupalong, Ukhia, Bangladesh. - AFP

Cox’s Bazar: Kira-kira 200,00 daripada lebih 700,000 pelarian Rohingya yang berlindung di Bangladesh, berdepan ancaman banjir dan tanah runtuh menjelang ketibaan musim monsun bulan depan.

Setakat ini, hanya 21,000 daripada jumlah terbabit berjaya dipindahkan ke tempat lebih selamat.

“Sebenarnya, kita berdepan risiko kehilangan nyawa yang tinggi apabila kawasan lembah ditenggelami banjir, manakala tanah runtuh menjejaskan keselamatan mereka yang tinggal di lereng bukit.

“Mereka (pelarian) kini terpaksa menghadapi masalah baru dan kali ini adalah bencana alam,” kata ketua operasi agensi pelarian Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) di sini, kepada AFP.

Penempatan sementara di kem berkenaan dijangka menerima lebih 2.5 meter hujan dalam tempoh tiga bulan mulai Jun ini, iaitu tiga kali ganda berbanding jumlah hujan yang diterima Britain dalam tempoh setahun.

Cox’s Bazar dilanda siklon sejak tiga tahun lalu, malah pernah menyaksikan kemusnahan yang dahsyat pada masa lalu.

Siklon turut mengorbankan ribuan nyawa penduduk yang tinggal di sepanjang pesisiran pantai Bangladesh sejak puluhan tahun lalu, malah ramai yang terkorban akibat banjir dan tanah runtuh. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Mei 2018 @ 7:05 AM