LOKASI kejadian tanah runtuh di kem Balukhali. FOTO AFP
LOKASI kejadian tanah runtuh di kem Balukhali. FOTO AFP
AFP

Cox's Bazar: Sekurang-kurangnya enam pelarian Rohingya maut dan ribuan terpaksa dipindahkan selepas banjir dan tanah runtuh susulan hujan lebat di kawasan berbukit di kem pelarian di Bangladesh.

Lima pelarian Rohingya termasuk tiga kanak-kanak mati tertimbus selepas tanah runtuh menimbus khemah mereka di kem Balukhali, kata pesuruhjaya pelarian, Shah Rezwan Hayat

"Hujan lebat berterusan selama beberapa hari menyebabkan kejadian tanah runtuh," katanya kepada AFP.

Seorang lagi kanak-kanak Rohingya maut selepas lemas di anak sungai dekat satu lagi kem pelarian Palongkhali, kata pegawai rasmi, sambil menambah paras anak sungai di kem-kem berkenaan naik mendadak kerana banjir kilat.

"Kita juga menyelamatkan dua individu yang cedera dan menghantar mereka ke hospital," katanya kepada AFP, sambil menambah ribuan keluarga Rohingya dipindahkan ke kem-kem lain untuk keselamatan.

Hampir sejuta pelarian Rohingya tinggal di kem-kem pelarian di daerah Cox's Bazar, tenggara Bangladesh, yang bersempadan dengan Myanmar.

Kira-kira 740,000 pelarian Rohingya terpaksa meninggalkan kampung halaman mereka di negeri Rakhine, Myanmar, akibat keganasan tentera pada Ogos 2017.

Ribuan keluarga pelarian, terutamanya yang tinggal di kawasan lembah di kawasan penempatan seluas 2,832 hektar itu, berisiko tinggi untuk menjadi mangsa tanah runtuh setiap kali musim monsun yang menyaksikan hujan lebat berterusan.

Bulan lalu, dua pelarian terbunuh dalam dua kejadian tanah runtuh berasingan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Julai 2021 @ 1:48 PM