BEBERAPA anggota polis bermotosikal meronda di satu kawasan perniagaan menjelang sambutan Krismas dan Tahun Baru di Jakarta. - Reuters
BEBERAPA anggota polis bermotosikal meronda di satu kawasan perniagaan menjelang sambutan Krismas dan Tahun Baru di Jakarta. - Reuters

Jakarta: Pihak berkuasa Indonesia mengerahkan kira-kira 180,000 anggota keselamatan menjelang sambutan Krismas dan Tahun Baru tidak lama lagi, kata polis semalam.

Langkah terbabit dibuat susulan penangkapan lebih 13 suspek militan di negara paling ramai penganut agama Islam di dunia itu.

Seramai 13 suspek militan itu ditahan dalam beberapa serbuan berasingan di seluruh Indonesia pada awal bulan ini.

Polis memberitahu, kebanyakan suspek terbukti mempunyai kaitan dengan kumpulan militan Daish atau pernah berjuang di Syria.

Jurucakap polis, Martinus Sitompul berkata, tiada ancaman keganasan dikesan sejak penangkapan itu tetapi aspek keselamatan ditingkatkan bagi melindungi gereja dan tempat awam antara 22 Disember hingga 2 Januari depan.

“Kami akan terus memantau dan berada dalam keadaan berjaga-jaga,” katanya.

Menurutnya, kira-kira 70,000 orang dari pelbagai agensi kerajaan, kumpulan masyarakat awam termasuk organisasi belia Islam terbesar negara itu akan membantu anggota keselamatan.

Indonesia sudah lama memerangi kumpulan militan dan berdepan beberapa serangan bom termasuk pada malam Krismas 2000 yang menyebabkan 18 orang terbunuh dan puluhan lagi cedera. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Disember 2017 @ 4:21 AM