BAHRUN bergambar di satu lokasi yang tidak diketahui di Syria. FOTO Agensi
BAHRUN bergambar di satu lokasi yang tidak diketahui di Syria. FOTO Agensi
Agensi

Jakarta: Militan Daish warga Indonesia, Bahrun Naim dilaporkan terbunuh dalam satu pertempuran di Syria, kata peguam kepada keluarga lelaki itu semalam.

Anis Prijo Anshorie memberitahu, berita mengenai kematian Bahrun tersebar melalui mesej Whatsapp daripada kumpulan yang mempunyai hubungan dengan Daish.

“Saya sudah menghubungi keluarga Bahrun bagi memaklumkan mengenai berita itu.

“Bagaimanapun, keluarga Bahrun tidak terkejut dan mereka juga masih sangsi dengan berita berkenaan,” katanya kepada Jawapos.com semalam.

Bahrun, 34, dipercayai panglima Daish yang mengetuai kumpulan militan dari Asia Tenggara yang bertempur di Syria.

Lelaki itu sebelum ini beberapa kali muncul dalam mesej video dan menyeru orang Islam berjihad di Syria dan Iraq.

Pihak berkuasa Indonesia juga percaya Bahrun adalah dalang utama yang merancang beberapa serangan Daish di Indonesia.

Sementara itu, polis Indonesia masih menyiasat laporan yang mendakwa Bahrun terbunuh dalam pertempuran di Syria itu.

Jurucakap polis Indonesia, Martinus Sitompul memberitahu, sehingga kini pihaknya belum dapat pengesahan mengenai kematian militan itu.

“Kami masih menunggu maklumat yang lebih tepat dan dipercayai sebelum membuat pengesahan.

“Kami menunggu laporan Atase Kepolisan Indonesia di Turki dan juga laporan daripada Kementerian Luar,” jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Disember 2017 @ 7:31 AM