ANGGOTA penyelamat memindahkan seorang bayi dari sebuah kediaman yang dilanda banjir di Cagayan City di selatan Filipina semalam. - AFP
ANGGOTA penyelamat memindahkan seorang bayi dari sebuah kediaman yang dilanda banjir di Cagayan City di selatan Filipina semalam. - AFP
AFP

Manila: Sekurang-kurangnya tiga orang maut dan enam lagi hilang selepas ribut tropika melanda selatan Filipina semalam mencetuskan banyak banjir dan tanah runtuh, kata pegawai.

Ribut tropika Tembin melanda pesisir timur Mindanao, pulau kedua terbesar negara itu sebelum subuh dengan tiupan angin selaju 125 kilometer sejam.

Pejabat kaji cuaca memberitahu, selain angin kecang, ribut itu turut membawa hujan lebat.

“Kami membantu ratusan penduduk berpindah keluar dari beberapa perkampungan tetapi air meningkat pantas dan penyelamat kami gagal sampai ke kawasan lain,” kata pegawai pertahanan awam Lanao del Sur, Saripada Pacasum.

Lanao del Sur adalah wilayah paling teruk terjejas dalam bencana kali ini.

Filipina terletak di lingkaran taufan Pasifik dan dilanda purata 20 taufan dan ribut besar setiap tahun, namun Mindanao jarang dilanda ribut siklon sebegini.

Satu insiden tanah runtuh kecil menyebabkan beberapa kediaman tertimbus di kawasan Tugaya dan mengorbankan dua kanak-kanak dengan lima yang lain dilaporkan hilang dipercayai terperangkap di bawah runtuhan.

Pegawai pertahanan awam Valencia, Junrey Vallejo memberitahu, empat rumah di bandar itu ditimbus tanah runtuh menyebabkan seorang warga emas maut.

Katanya, pasukan penyelamat terpaksa menggunakan jentera berat dalam misi mencari seorang kanak-kanak perempuan yang hilang dalam kejadian itu.

Polis dan pertahanan awam melaporkan banjir besar di beberapa kawasan di Mindanao dan beberapa bandar ketika Tembin semakin lemah dan pantas bergerak jauh dari rantau itu.

Antara bandar di Mindanao yang terjejas akibat banjir adalah Marawi yang semakin pulih selepas peperangan selama lima bulan antara tentera dan militan Daish.

Tembin melanda kurang seminggu selepas taufan Kai-Tak melanda tengah Filipina menyebabkan 54 maut dan 24 lagi hilang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Disember 2017 @ 4:21 AM