Bangunan yang senget di bandar Juchitan, Oaxaca, manakala gambar kiri, runtuhan bangunan juga berlaku di Mexico City yang terletak 1,000 km dari pusat gempa. - Foto Daily Mail/AFP
Bangunan yang senget di bandar Juchitan, Oaxaca, manakala gambar kiri, runtuhan bangunan juga berlaku di Mexico City yang terletak 1,000 km dari pusat gempa. - Foto Daily Mail/AFP
Agensi

JUMLAH korban akibat gempa bumi sekuat 8.4 magnitud yang melanda selatan Mexico hari ini, meningkat kepada 26 orang.

Menurut Reuters, Gabenor Oaxaca, Alejandro Murat, berkata 23 orang maut di negeri berkenaan dengan 17 kematian berlaku di bandar Juchitan.

Mangsa lain yang terbunuh ialah dua kanak-kanak dan tiga orang dewasa di Chiapas.

Gabenor Tabasco, Arturo Nunez, berkata seorang kanak-kanak mati ditimpa runtuhan bangunan dan seorang bayi mati di hospital akibat bekalan elektrik terputus.

Gempa bumi pada 11.50 malam waktu tempatan (10.50 pagi waktu Malaysia) itu melanda pesisir Lautan Pasifik kira-kira 120 kilometer dari bandar Tres Picos di negeri Chiapas.

Jabatan Pengukur Geologi Amerika Syarikat (USG) merekod kekuatan 8.1 manakala jabatan seismology Mexico mencatat 8.4 magnitud.

Gegaran gempa itu boleh dirasai sejauh 1,000 kilometer sehingga Bandar Raya Mexico City

Amaran tsunami sehingga emapt meter turut dikeluarkan untuk kawasan perairan Mexico, Guatemala, El Salvador, Costa Rica, Nicaragua, Panama dan Honduras serta Ecuador namun amaran itu kemudian ditarik balik.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 September 2017 @ 10:51 PM