DUA askar berkawal berhampiran Hotel Sensacion yang tumbang akibat gempa bumi di Matias Romero, Mexico semalam. - AFP
DUA askar berkawal berhampiran Hotel Sensacion yang tumbang akibat gempa bumi di Matias Romero, Mexico semalam. - AFP
ANGGOTA penyelamat mencari mangsa yang masih terperangkap dalam runtuhan bangunan di  Juchitan de Zaragoza, Mexico semalam. - AFP
ANGGOTA penyelamat mencari mangsa yang masih terperangkap dalam runtuhan bangunan di Juchitan de Zaragoza, Mexico semalam. - AFP
AFP

Juchitán de Zaragoza, Mexico: Pasukan penyelamat berlumba mengejar masa bagi mengeluarkan mangsa yang masih terperangkap dalam runtuhan bangunan selepas Mexico dilanda gempa bumi terkuat dalam tempoh 100 tahun kelmarin.

Ketika Mexico masih terkejut dengan gempa sekuat 8.1 magnitud itu, Taufan Katia yang bertukar menjadi ribut tropika melanda pantai timur semalam.

Pihak berkuasa memberi amaran, ribut itu membawa hujan lebat yang berpotensi mencetuskan banjir besar dan tanah runtuh.

Di wilayah selatan yang paling teruk terjejas, pasukan penyelamat mencari mangsa yang masih selamat atau mayat yang terperangkap dalam runtuhan rumah, gereja dan sekolah.

Presiden Mexico, Enrique Pena Nieto berkata, seramai 45 mangsa terbunuh di negeri Oaxaca, 12 di Chiapas dan empat di Tabasco.

Bagaimanapun, menurut data terbaru oleh pegawai negeri, jumlah kematian mungkin melebihi 80 orang.

Pena Nieto juga melawat bandar Juchitan di Oaxaca, paling teruk terjejas dengan 36 mayat dikeluarkan dari runtuhan bangunan.

Kebanyakan bangunan dan rumah di bandar itu juga runtuh dengan sisa konkrit, kabel elektrik dan atap bertaburan di atas jalan raya yang sunyi.

Berpuluh-puluh anggota penyelamat berkumpul di bangunan perbandaran yang separuh runtuh lokasi dua anggota polis terperangkap.

Pasukan penyelamat berjaya mengeluarkan seorang mangsa dan berusaha mengejar masa menyelamatkan mangsa kedua.

“Saya berdoa supaya mangsa berjaya diselamatkan,” kata seorang wanita yang melihat empat kren perlahan-lahan mengangkat sisa runtuhan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 September 2017 @ 9:58 AM