PELAKON bersama kru drama ini.
PELAKON bersama kru drama ini.
Ridzuan Abdul Rahman

Semakin lama, Kyoll Hamzah terus memperlihatkan kebolehannya mengarahkan pelbagai cerita menarik.

Kyoll pernah mengarahkan pelbagai drama antaranya Meh Sandar Lagi, Panggilan Subuh, Dan Aku Jatuh Cinta dan Lara Intan Di Hati Laila membuatkan dia terus menjadi pilihan penerbit bagi mengarahkan drama terbitan mereka.

Kyoll kini tampil dengan siri drama Dian terbitan A-10 Alliance Sdn Bhd yang mula menemui penonton menerusi ntv7 pada jam 8.30 malam setiap Isnin hingga Jumaat bermula hujung November lalu.

Drama yang skripnya dihasilkan Mufid & Nextscene Team ini menampilkan pelakon Siti Elizad, Qi Razali, Erra Fazira, Yasmin Hani, Tony Eusoff, Mimi Lana dan ramai lagi.

Dian mengisahkan ketabahan seorang wanita bernama Dian (Siti Elizad) yang bergelar isteri namun kemudiannya menjadi janda serta seterusnya bergelar banduan.

Kyoll berkata, sebagai pengarah dia amat berpuas hati dapat mengarahkan karya menarik yang sememangnya berlaku dalam kalangan masyarakat.

“Cerita yang dipaparkan dalam drama ini sememangnya berkisarkan kehidupan manusia. Ia adalah lumrah kehidupan buat semua.

“Cuma terpulang bagaimana cara untuk kita mengatasinya kerana kadangkala ia bertujuan menguji keimanan seseorang individu.

“Bagaimanapun, mungkin kerana gagal mengawal perasaan maka terjadilah perkara yang tak diingini,” katanya.

KYOLL dan Elizad di lokasi penggambaran.
KYOLL dan Elizad di lokasi penggambaran.

Menurutnya, mengarah cerita sebegini amat menyeronokkan kerana ia mempunyai jiwa dan simbolik tersendiri.

Kyoll berkata, ketika penggambaran berlaku kejadian tidak diingini apabila dia sakit dan terpaksa dimasukkan ke hospital.

“Keadaan saya ketika itu 50/50. Nasib baiklah saya cepat dikejarkan ke hospital dan sempat diselamatkan. Apapun saya bersyukur dapat bekerja dengan barisan pelakon hebat yang amat memahami.

“Erra memang seorang primadona dan pandai meletakkan dirinya di tahap terbaik. Juga Siti Elizad yang memberikan lakonan terbaik sebagai Dian,” katanya.

Tidak terkecuali, Kyoll beruntung mempunyai barisan kru yang memahami situasi dan memberikan kerjasama sebaiknya.

“Semua pelakon sehinggalah kru saling bekerjasama memberikan komitmen sepenuhnya terhadap pembikinan drama ini.

“Gabungan pelakon baru dan lama ditampilkan dalam Dian menuntut saya lebih kreatif untuk mengadunkan semuanya bagi menghasilkan cerita yang mantap.

“Boleh dikatakan pakej yang ada cukup lengkap. Bahkan kebebasan diberikan penerbit iaitu Datin Wan Kalsom memudahkan saya melahirkan idea kreatif dalam Dian,” katanya.

ELIZAD dan Qi bergandingan sebagai pasangan suami isteri.
ELIZAD dan Qi bergandingan sebagai pasangan suami isteri.

Sinopsis

Mengisahkan seorang wanita bernama Dian yang berhasrat untuk berkahwin dengan pilihan hatinya iaitu Hisham (Qi Razali) tetapi mendapat tentangan ibunya, Yon Aishah (Fazlina Ahmad Daud).

Sebenarnya, ibu Dian sudah merancang untuk mengahwinkan anak perempuannya itu dengan Faris (Tony Eusoff) yang juga seorang doktor tetapi Dian tetap dengan pilihannya.

Dian dan Hisham akhirnya berkahwin dan dikurniakan dua anak iaitu Fiqa (Mimi Lana) dan Aiman (Izzy Reef Izzu).

ANTARA babak menarik dalam drama Dian.
ANTARA babak menarik dalam drama Dian.

Malangnya selepas berkahwin barulah Dian tahu Hisham seorang kaki judi dan suka membazirkan masa dan wang di pusat judi setiap malam.

Ketagihan berjudi Hisham semakin menjadi-jadi sehingga Dian terpaksa memilih cara alternatif untuk memberi wang kepada suaminya itu.

Suatu hari, Dian sudah tidak dapat bertahan dengan perangai buruk suaminya itu. Dalam pergelutan, Hisham tertikam dan Dian pula dipenjara 10 tahun atas cubaan untuk membunuh serta mencederakan suaminya itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Disember 2018 @ 12:30 PM