GAMBAR diedarkan polis wilayah Graubunden menunjukkan puing pesawat yang bertaburan. - EPA
GAMBAR diedarkan polis wilayah Graubunden menunjukkan puing pesawat yang bertaburan. - EPA
Agensi

Geneva: Dua remaja lelaki berusia 14 tahun dan seorang juruterbang mati dalam nahas pesawat ringan ketika menyertai kem musim panas untuk peminat penerbangan muda di Switzerland.

Tiga mangsa terbabit menaiki pesawat satu enjin itu yang merempuh gunung di Grisons, dalam kejadian yang turut menyebabkan seorang remaja perempuan berusia 17 tahun cedera.

Punca nahas masih disiasat.

Pengarah kem berkenaan Yves Burkhardt menyuarakan rasa terkejut dan sedih dengan kejadian itu.

“Saya terkejut dan terlalu sedih. Terasa seperti kehidupan saya sudah berakhir,” katanya.

Menurutnya, penerbangan bertujuan bersiar-siar itu menjadi acara paling dinanti-nantikan untuk hampir 200 remaja dan kanak-kanak yang menyertai kem selama seminggu berkenaan, yang beroperasi tanpa kejadian buruk sejak 35 tahun lalu.

Menurut pihak berkuasa, pesawat Piper berkenaan melakukan penerbangan keduanya pada hari itu dan juruterbangnya juga berpengalaman.

Ia dilaporkan terhempas kira-kira 10 minit sejurus berlepas.

Sekumpulan pelancong yang menaiki gondola untuk melihat pemandangan dari puncak gunung dilaporkan melihat pesawat itu terjunam sekitar jam 9.30 pagi (waktu tempatan).

Susulan itu, pihak berkuasa penerbangan Switzerland melarang semua penerbangan dalam jarak 4.5 kilometer dari situ, lapor ATS News.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Ogos 2017 @ 2:47 AM