GAMBAR menunjukkan kemusnahan di bandar Marawi selepas pertempuran meletus sejak 62 hari lalu. -  AFP
GAMBAR menunjukkan kemusnahan di bandar Marawi selepas pertempuran meletus sejak 62 hari lalu. - AFP

Manila: Ketika krisis bersenjata di Marawi berterusan, memasuki hari ke-62 semalam, jumlah kematian juga dilaporkan meningkat.

Menurut data yang dikeluarkan ketua perhubungan awam Angkatan Bersenjata Filipina, Kolonel Edhar Arevalo, 578 kematian dicatatkan akibat konflik berkenaan sehingga semalam.

Daripada jumlah itu, 105 ialah anggota tentera, meningkat seramai enam orang 99 berbanding minggu lalu.

Sehingga kelmarin, 428 anggota kumpulan Maute yang terbabit dalam pertempuran di bandar berkenaan terbunuh. Tentera juga merampas 526 senjata milik militan berkenaan.

Menurut Revalo, angka kematian dalam kalangan orang awam kekal 45 sementara jumlah mereka yang diselamatkan ialah 1,723.

Presiden Rodrigo Duterte mengisytiharkan pemerintahan tentera di Mindanao selepas anggota Maute menyerang Marawi pada 23 Mei lalu.

Kongres Filipina melanjutkan undang-undang berkenaan sehingga akhir tahun ini dalam usaha menumpaskan militan itu.

Sementara itu, tentera Filipina berkata, hanya 60 militan masih menguasai kawasan seluas 49 hektar di Marawi.

Bagaimanapun, Duterte mahukan undang-undang tentera itu diteruskan bagi membolehkan dia memiliki kuasa membangunkan semula bandar berkenaan dan memastikan sengketa bersenjata itu tidak merebak ke kawasan lain.

Jurucakap tentera di Marawi, Leftenan Kolonel Jo-ar Herrera memberi jaminan undang-undang tentera tidak akan disalahgunakan.

“Semua tindakan kami akan berdasarkan undang-undang. Kami akan menghormati hak rakyat Filipina,” katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Julai 2017 @ 12:40 PM