ANGGOTA penyelamat menyusun mayat pekerja yang maut dalam kejadian itu di Gazipur. - Reuters
ANGGOTA penyelamat menyusun mayat pekerja yang maut dalam kejadian itu di Gazipur. - Reuters

Dhaka: Sekurang-kurangnya 10 orang maut dalam letupan di sebuah kilang pakaian di Bangladesh.

Puluhan kakitangan sedang bekerja di dalam kilang yang terletak di Gazipur, pinggir bandar Dhaka apabila sebuah dandang meletup lewat kelmarin, menyebabkan sebahagian bangunan setinggi enam tingkat itu runtuh.

Letupan itu yang berlaku ketika ramai pekerja kilang masih bercuti menyambut Aidilfitri adalah nahas terbaru membabitkan industri pakaian bernilai AS$30 bilion (RM129 bilion) di negara berkenaan.

Tiga pekerja masih tidak dapat dikesan, dan pegawai daerah Mahmud Hasan berkata, jumlah kematian mungkin meningkat.

Pada April 2013, kompleks kilang setinggi sembilan tingkat, Rana Plaza, runtuh menyebabkan lebih 1,100 terbunuh dalam kejadian dianggap antara nahas industri terburuk di dunia.

Bangladesh mempunyai lebih 4,500 kilang pakaian yang menggaji 4 juta orang - kebanyakannya wanita - dengan gaji minimum AS$68 (RM292) sebulan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Julai 2017 @ 9:46 AM