KILANG pemgbungkusan musnah dalam kebakaran. - EPA
KILANG pemgbungkusan musnah dalam kebakaran. - EPA
AFP

Dhaka: Sekurang-kurangnya 25 maut dan 70 cedera, ramai antaranya parah, dalam kebakaran besar akibat letupan dandang di sebuah kilang pembungkusan di Bangladesh.

Kira-kira 100 orang bekerja ketika kejadian yang melihat api memusnahkan bangunan setinggi empat tingkat di bandar perindustrian Tongi, di utara Dhaka.

Ketua jabatan pemeriksaan kilang, Syed Ahmed berkata, kejadian berlaku di Tampaco Foils Limited yang membekalkan jenama tempatan serta antarabangsa.

Inspektor Aminul Islam berkata: “Kami menghadapi kesukaran untuk mengawal kebakaran dan ramai lagi pekerja dibimbangi terperangkap.”

Sementara itu, Dr Parvez Mia dari hospital umum Tongi berkata, sekurang-kurangnya 70 orang cedera.

“Ramai mengalami kesan lecuran teruk. Mangsa kritikal dihantar ke hospital di Dhaka. Ada antara mereka sangat parah,” katanya.

Juruletrik, Mohammad Rokon, 35, yang mengalami luka ringan berkata: “Ketika kejadian saya berada di dalam pejabat. Tiba-tiba saya terdengar letupan dan rasa gegaran kuat sebelum siling jatuh menyebabkan saya hampir pengsan.

“Tetapi saya menguatkan semangat memaksa diri keluar dari situ dengan suluhan lampu telefon bimbit.”

Pengendali mesin, Rubel Hossain berkata, dia sedang berjalan masuk ke dalam kilang itu ketika letupan berlaku.

“Saya mendengar letupan kuat dan melihat asap tebal serta api marak. Saya rasa bersyukur terselamat tetapi sedih mengenangkan rakan-rakan yang menjadi mangsa,” katanya.

Sementara itu, kakak seorang pekerja kilang yang terbunuh berkata adiknya Delwar Hossain berjanji membawanya sekeluarga pulang ke kampung mereka di Sherpur sempena Aidiladha.

“Sebaliknya, kami terpaksa membawa jenazahnya pulang untuk dikebumikan,” kata Khaleda Begum.

Jurucakap polis perindustrian, Tahmidul Islam berkata, kejadian mungkin lebih diterukkan akibat bahan kimia yang disimpan di tingkat bawah kilang berkenaan menyebabkan api marak begitu cepat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 September 2016 @ 5:16 AM