BERGAMBAR di puncak Titiwangsa.
BERGAMBAR di puncak Titiwangsa.
Nurul Husna Mahmud


DALAM misi menawan puncak Titiwangsa dengan berbasikal, 30 peserta Misi Kayuhan Ku Seru Puncak Titiwangsa Jeli Epic dan Geng Basikal Gunung memerlukan dua hari perjalanan.

Kayuhan bermula pada tengah hari dari Inap Desa Kampung Gunung Reng menuju ke Tasik Pergau dan seterusnya pendakian di Bukit Taubat sebelum menyusuri Lebuhraya Timur-Barat sejauh 40 kilometer (km) pada hari pertama.

Meskipun ‘mood’ kayuhan pada hari pertama lebih santai, namun trek dilalui peserta mencerminkan sebaliknya terutama pendakian di Bukit Taubat.

Sepadan dengan namanya, trek berkenaan ternyata memaksa peserta mengerah kudrat masing-masing untuk melepasi bukit yang mempunyai ketinggian 300 meter dan kecuraman 17 darjah.

Menurut Pengarah Program kayuhan itu Hamdan Muhammad, belum sempat peserta melepaskan penat pada kayuhan hari pertama, cabaran menanti mereka pada hari kedua adalah trek mendaki yang panjang .

“Kayuhan kali ini disifatkan sebagai kayuhan muhibah antara kelab basikal Jeli Epic dan Geng Basikal Dungun sambil menikmati pemandangan indah di sepanjang laluan 80km pergi dan balik.

REHAT seketika di Terowong Titiwangsa sebelum menyambung perjalanan.
REHAT seketika di Terowong Titiwangsa sebelum menyambung perjalanan.

“Peserta menyaksikan sendiri mahupun mandi di Sungai Pergau yang memiliki air terjun jernih dan masih terpelihara daripada pembalakan.

“Paling bermakna mereka dapat mengetahui had kekuatan diri apabila trek sangat mencabar ketika meredah laluan beralun dan berbukit. Kepuasan mereka tentunya selepas berjaya melepasi Gunung Reng dan sampai ke Puncak Titiwangsa.

“Pada hari pertama peserta berdepan dengan Bukit Taubat diperakui kebanyakan penggiat basikal ia antara laluan yang getir untuk dilepasi.

“Cabaran hari kedua tidak kurang hebatnya apabila peserta berterusan mengayuh di trek mendaki membabitkan jalan ke Grik menuju ke puncak Titiwangsa,” katanya.

Dalam kayuhan lasak seperti ini, seperti dijangka ada peserta yang mengalami kekejangan sewaktu berada di laluan mendaki.

Namun, rata-rata komuniti basikal yang menyertai kayuhan kali ini berpuas hati dengan trek berkenaan yang disifatkan antara trek terbaik bagi aktiviti sukan basikal lasak di zon pantai timur.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Julai 2019 @ 6:10 AM