AZZUDIN teman menyelam terbaik Dzurainee.
AZZUDIN teman menyelam terbaik Dzurainee.
Aniza Zainudin

Perasaan iri hati diselangi kagum dengan keseronokan kumpulan penyelam skuba bercerita mengenai keindahan hidupan dasar laut memberi dorongan positif kepada pasangan suami isteri, Azzudin Abdul Aziz dan Dzurainee Mokhatar untuk merasai pengalaman yang sama.

Mendirikan rumah tangga sejak 10 tahun lalu, pasangan itu kerap menyenaraikan pulau menarik di seluruh Malaysia sebagai destinasi percutian utama.

“Sebenarnya sebelum kahwin lagi, saya bersama rakan sekuliah sering melakukan lawatan sambil belajar ke Pulau Kapas dan Pulau Tioman kerana tertarik dengan keindahan laut.

“Namun saya tidak pernah serius untuk melakukan aktiviti menyelam skuba mahupun mengambil lesen yang dikatakan menelan kos tinggi, justeru saya menjadikan snorkeling adalah pilihan mudah.

“Pengalaman bercuti ke Pulau Redang pada 2015 mencetuskan rasa minat saya dan suami terhadap aktiviti skuba.

“Penginapan kami sekeluarga terletak bersebelahan pusat menyelam, jadi hampir setiap hari kami bertembung dengan penyelam skuba.

“Itu membuatkan saya berasa iri hati kerana mereka dapat melihat flora dan fauna lautan dengan lebih dekat, jika dibandingkan saya yang hanya melihat hidupan berkenaan di atas permukaan laut (snorkeling).

“Oleh itu saya dan suami membuat keputusan mengambil lesen menyelam skuba secara serentak sekali gus ‘menaik taraf’ aktiviti laut daripada snorkeling kepada menyelam.

“Tidak dinafikan, masa adalah cabaran utama kerana kami perlu bergilir-gilir menjaga anak untuk menghadiri kelas,” katanya yang berjaya memiliki lesen Open Water Diver (OWD) pada Mei 2016.

KELUARGA kecil Azzudin dan Dzurainee.
KELUARGA kecil Azzudin dan Dzurainee.

Mencungkil pengalaman pertama melakukan sukan lasak berkenaan, wanita berusia 36 tahun ini menyifatkan ujian mendapatkan lesen OWD di Pulau Perhentian dengan kedalaman lima hingga enam meter antara perkara sukar dilupakan.

Jika sebelum ini, latihan hanya dilakukan di kolam renang namun buat kali pertama Dzurainee perlu menyelam di lautan luas hingga membuatkan dia panik.

Meskipun gugup berada dalam lautan dan terpaksa timbul di permukaan air beberapa kali, wanita ini bersyukur dengan bantuan, panduan serta kesabaran tenaga pengajar demi mengatasi cabaran dalamannya.

Jelas ibu kepada dua anak perempuan itu, sebaik berada di dalam laut serta menyaksikan keunikan ciptaan Tuhan, dia memperoleh ketenangan fikiran dan berjaya melupakan stres di tempat kerja yang membelenggunya.

Menyifatkan Azzudin satu-satunya teman menyelam terbaik, Dzurainee mengakui walaupun kerap melakukan aktiviti berkenaan, hanya suami yang memahami kegugupannya setiap kali berada di dalam air.

Berkongsi minat yang sama, wanita ini mengakui hubungan suami isteri menjadi lebih erat kerana banyak perkara atau topik boleh dibincangkan.

Malah ia turut menekankan aspek kerjasama kerana mereka saling bergantung antara satu sama lain ketika melakukan aktiviti sukan air ini.

Menjadikan Pulau Sipadan sebagai destinasi impian, pasangan suami isteri ini turut merancang untuk mengambil lesen Advance Open Water pada masa akan datang sekali gus membolehkan mereka menyelam dengan kedalaman 30 meter.

SAKSI keindahan ciptaan Tuhan.
SAKSI keindahan ciptaan Tuhan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Oktober 2018 @ 12:00 AM