SAZALI bersama rakan-rakan ketika menyelam skuba di Pulau Payar.
SAZALI bersama rakan-rakan ketika menyelam skuba di Pulau Payar.
Hafiz Ithnin


BAGI mereka yang gemarkan aktiviti menyelam skuba pastinya Malaysia antara pilihan untuk melakukan aktiviti itu. Malah, negara kita juga terkenal sebagai destinasi menyelam skuba terbaik dunia.

Jika anda bertandang ke Kedah, Pulau Payar bukan sesuatu yang asing terutama bagi penyelam skuba.

Bercerita mengenai keunikan pulau berkenaan, penyelam skuba aktif, Sazali Omar berkata, Pulau Payar antara destinasi pangkalan bagi penyelam skuba biar pun tiada kemudahan penginapan.

Katanya, bagi mereka yang ingin melakukan aktiviti itu untuk beberapa hari, biasanya Kuala Kedah menjadi tempat bagi penyelam mendapatkan kemudahan penginapan.

“Saya sudah lebih 20 kali melakukan aktiviti menyelam di sekitar Pulau Payar dan ia adalah destinasi yang paling terkenal bagi kaki selam skuba di utara kerana terdapat banyak destinasi menyelam di pulau kecil di sekitarnya.

AKTIVITI menyelam skuba menawarkan keseronokan menerokai alam marin.
AKTIVITI menyelam skuba menawarkan keseronokan menerokai alam marin.

“Malah, kebanyakan penyelam yang berada di Pulau Langkawi atau Pulau Pinang memilih untuk menyelam di Pulau Payar kerana kedudukannya agak strategik dan paling menarik untuk melihat khazanah alam marin,” katanya.

Bagi pengunjung yang ingin ke Pulau Payar dari Kedah, mereka boleh menggunakan bot dari Kuala Kedah yang mengambil masa sekitar satu jam perjalanan ke pulau berkenaan.

Antara destinasi menarik yang boleh dikunjungi bagi aktiviti menyelam skuba di sekitar Pulau Payar seperti Japanese Garden, Coral Garden, Taman Laut Pulau Payar dan Pulau Kacha.

Sazali berkata, mereka yang ingin melakukan aktiviti menyelam skuba dinasihatkan mengambil pakej menyelam pada kadar RM700 untuk tiga hari dua malam. Harga yang ditawarkan operator bergantung kepada perkhidmatan yang diinginkan pelanggan.

TERDAPAT pelbagai lokasi menyelam skuba yang boleh dilawati dengan menggunakan bot laju.
TERDAPAT pelbagai lokasi menyelam skuba yang boleh dilawati dengan menggunakan bot laju.

“Biasanya harga yang ditawarkan termasuk untuk menyewa kelengkapan menyelam, makan dan minum, penginapan di Kuala Kedah dan tambang menggunakan bot laju untuk ke destinasi menyelam.

“Lokasi menyelam di Pulau Payar agak menarik kerana di sini terdapat pelbagai jenis hidupan marin antaranya, Seahorse, Goliath Grouper, Nudibranch, Yellow box fish, Spike pufferfish, Barracuda, Giant moray eel, Lion fish dan Scorpion fish,” katanya.

Katanya, setiap destinasi menyelam di sekitar Pulau Payar mempunyai kedalaman yang berbeza contohnya di Pulau Segantang boleh menyelam hingga 18 meter. Setiap kedalaman untuk menyelam bergantung kepada lesen yang dimiliki penyelam skuba.

AKTIVITI menyelam skuba biasanya dilakukan secara berkumpulan.
AKTIVITI menyelam skuba biasanya dilakukan secara berkumpulan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mei 2019 @ 9:07 AM