KEBEBASAN dimiliki Riza Faisal.
KEBEBASAN dimiliki Riza Faisal.
Aniza Zainudin


Berada dalam lautan kebiruan, menyaksikan gemalai tarian fauna lautan dan keindahan warna-warni batu karang membuka dimensi baru dalam kehidupan Riza Faisal Mohammed Kandar yang disahkan orang kurang upaya (OKU) sejak 16 tahun lalu.

Berada dalam keadaan graviti sifar di dalam laut memberi kepuasan kepada pemegang Lesen Professional Association of Diving Intructors (PADI) Scuba Diver ini untuk bergerak bebas seperti insan normal lain.

Berpeluang mengikuti Program OKU DiveHeart di Pulau Mabul dan Pulau Sipadan, Sabah pada 4 hingga 11 Disember lalu, lelaki berusia 34 tahun ini menyifatkan peluang menyelam skuba di destinasi popular dunia seakan mimpi jadi kenyataan.

Berkongsi persediaan dilakukan lelaki berasal dari Sungai Besar, Selangor ini, mula mengikuti kursus menyelam skuba sejak April 2016 selama empat bulan.

RIZA Faisal.
RIZA Faisal.

“Disebabkan kekangan keupayaan diri membuatkan saya serta 12 rakan lain mengambil masa agak lama. Tambahan pula, latihan diadakan setiap dua minggu sekali.

“Sebenarnya saya tidak pernah terfikir melakukan sukan ekstrem ini. Apabila ditawarkan, saya melihat ia satu cabaran untuk keluar dari zon selesa.

“Permulaannya, saya agak gusar untuk turun ke kolam renang sedalam enam meter kerana saya tidak mampu menggerakkan separuh badan dari pinggang ke bawah. Sebelum ini, aktiviti saya bergantung sepenuhnya kepada kerusi roda.

PASUKAN yang mengiringi program OKU DiveHeart Malaysia baru-baru ini.
PASUKAN yang mengiringi program OKU DiveHeart Malaysia baru-baru ini.

“Apabila diajar mengenai peralatan menyelam skuba, teknik pernafasan, kaedah mengimbangkan badan dan mengawal tekanan ketika berada di dalam air, perlahan-lahan saya berjaya menepis ketakutan itu,” katanya.

Pengalaman menyelam skuba di Pulau Tioman pada November 2016 memberi kelebihan kepada Riza Faisal untuk beraksi di Pulau Mabul dan Sipadan.

Andai orang normal menuruni bot secara terlentang, sebaliknya pula OKU yang perlu turun sama ada badan menghadap laut ataupun menjatuhkan badan dari tepi.

Diiringi tiga penyelam skuba yang lain bagi memastikan keselamatan Riza Faisal, pada sesi selaman skuba pertama, dia mengakui agak gugup namun berbeza bagi sesi seterusnya di Pulau Sipadan.

PERLUKAN bantuan daripada jurulatih di dalam laut.
PERLUKAN bantuan daripada jurulatih di dalam laut.

“Sesi menyelam skuba kedua, saya mula rasa selesa dan seronok apabila menyaksikan keunikan flora dan fauna yang terdapat di kedalaman 20 meter.

“Selain melihat kumpulan ikan yang jarang ditemui dan pelbagai saiz, saya turut teruja apabila dapat bertembung dengan penyu dan ikan jerung bersaiz besar di hadapan mata.

“Berada di dalam air membuatkan saya lupa diri. Saya boleh bergerak tanpa memerlukan bantuan kerusi roda atau orang lain,” jelasnya ketika ditemui baru-baru ini.

Mengalami kecederaan tulang belakang dan menderita masalah saraf, Riza Faisal turut mengakui kesakitan ditanggungnya hilang sebaik berada di dalam laut sekali gus membuktikan menyelam skuba antara satu terapi bagi masalah itu.

Berkongsi inspirasi, Riza Faisal berkata setiap manusia perlu berani cabar keupayaan diri dan ia bermula dengan perkataan ‘mencuba’.

MENYELAM di lokasi skuba popular dunia.
MENYELAM di lokasi skuba popular dunia.

Menurut Duta DiveHeart Malaysia, Syed Abdul Rahman Syed Hassan, DiveHeart diasaskan Jim Elliott berpusat Illinois, Amerika Syarikat adalah sebuah badan bukan bermotif keuntungan.

“Program DiveHeart diperkenalkan untuk membina keyakinan dan pembentukan peribadi kanak-kanak, golongan dewasa, warga emas dan OKU menerusi sukan menyelam skuba dan terapi skuba.

“DiveHeart direka khas untuk OKU bagi membolehkan mereka merasai pengalaman graviti sifar di bawah air tanpa rasa berat.

“Kami juga menyediakan program kursus dan latihan menyelam skuba oleh PADI termasuk Lesen ‘Open Water Diver’, PADI Seal, ‘Open Water PADI’ Junior sejak tiga tahun lalu,” katanya.

SYED Abdul Rahman
SYED Abdul Rahman

Dia yang juga Pengarah Kids Scuba ini mengakui DiveHeart Malaysia turut menjalinkan kerjasama erat dengan Jabatan Perubatan Pemulihan, Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk membantu golongan OKU dari perspektif nilai terapeutik dan psikologi.

Menanam keyakinan atas keupayaan diri tanpa batasan, Syed Abdul Rahman berkata menyelam skuba memberi keajaiban kepada OKU untuk melakukan sesuatu dalam persekitaran graviti sifar di laut dalam.

Menurut Syed Abdul Rahman, sejak program DiveHeart diperkenalkan di Malaysia, pihaknya berjaya mentauliahkan seramai 12 OKU dengan Lesen PADI Scuba Diver.

Menariknya, 12 penyelam skuba OKU ini turut menerima tajaan sepenuhnya daripada PADI dan mendapat latihan intensif daripada jurulatih Kids Scuba.

SYED Abdul Rahman bersama Riza Faisal.
SYED Abdul Rahman bersama Riza Faisal.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Disember 2017 @ 3:15 AM