MENGETENGAHKAN konsep minimalis yang sesuai dengan keluasan kediaman.
MENGETENGAHKAN konsep minimalis yang sesuai dengan keluasan kediaman.
Muhamaad Razis Ismail


MINIMALIS adalah konsep ringkas dan tersusun yang tidak memerlukan perabot serta perincian yang banyak di dalam kediaman.

Bagi kediaman yang terhad, konsep dekorasi ini amat sesuai untuk mendapat ruang yang lebih luas supaya lebih mudah diuruskan dan memberi keselesaan kepada penghuninya.

Konsep minimalis turut boleh diaplikasi pada kediaman besar terutama kepada pemilik yang tidak menginginkan ruang yang dipenuhi dengan perabot dan aksesori.

Bagaimanapun, untuk mengekalkan ciri-ciri minimalis secara konsisten bukan perkara yang mudah berikutan pelbagai perkongsian di media sosial yang mampu mempengaruhi pemilik untuk menambah perabot dan aksesori di kediaman untuk kelihatan lebih cantik serta menarik.

Perkara ini tidak dinafikan Nurul Amira Dasuan, 33, yang mengetengahkan konsep minimalis selain melihat idea dekorasi itu lebih sesuai untuk rumah teres setingkat berkeluasan 20 x 65 kaki persegi.

Ibu kepada dua cahaya mata ini berkata, bukan mudah untuk menahan diri daripada 'teracun' dengan perkongsian rakan-rakan lain yang turut aktif mendekorasi kediaman dengan pelbagai konsep unik dan menarik.

Katanya, dia perlu menahan diri dan nafsu daripada menambah perabot atau membuat pengubahsuaian tambahan di kediamannya untuk terus setia dengan konsep minimalis diketengahkan.

NURUL Amira bersama ahli keluarganya.
NURUL Amira bersama ahli keluarganya.

"Niat untuk meminimumkan barang atau perabot di dalam rumah perlu kuat untuk mengelakkan saya terpengaruh. Perkongsian di media sosial, saya lihat sekadar untuk mencuci mata sahaja dan dijadikan sebagai inspirasi sekiranya sesuai dengan konsep minimalis.

"Saya perlu sentiasa mengingatkan diri, ruang rumah agak terhad dan anak-anak pula sedang lasak bermain yang lebih sesuai dengan konsep minimalis," katanya.

Menariknya, kediaman yang mempunyai tiga bilik ini tidak mempunyai stor untuk menyimpan barang dan peralatan di dalam rumah yang biasanya jarang digunakan.

"Ini adalah salah satu sebab utama saya tidak mempunyai stor untuk mengelakkan daripada saya menambah barang di dalam rumah. Saya hanya beli barang yang diperlukan sahaja untuk mengelakkan berlaku lambakan barang di dalam rumah.

 KEDIAMAN nampak lebih luas dengan pemilihan perabot yang minimum.
KEDIAMAN nampak lebih luas dengan pemilihan perabot yang minimum.

"Biasanya, barang yang tidak digunakan saya akan jual atau diberikan sahaja kepada sesiapa yang berminat.

"Untuk kelihatan lebih kemas, barang akan disimpan di tempat yang tertutup termasuk laci dan alm

ari," katanya.

Jelasnya, kelebihan konsep minimalis ini memberi ruang kediaman yang kecil nampak lebih luas dan ringkas.

Katanya, pada masa sama, pemilihan konsep ini dapat memberi keselesaan dan ruang kepada anak untuk bermain di dalam rumah.

"Untuk ruang di dalam rumah saya menitik beratkan barang-barang yang perlu sahaja supaya rumah tidak terlalu penuh dengan perabot.

"Selain itu, saya amat mementingkan warna putih dan lembut supaya ruang di dalam rumah tampak lebih luas," katanya.

KESELESAAN menjadi keutamaan Nurul Amira dalam menata hias kediamannya.
KESELESAAN menjadi keutamaan Nurul Amira dalam menata hias kediamannya.

Mengulas lanjut, pemilihan warna lembut memainkan peranan penting supaya lebih mudah untuk dipadankan dengan warna lain.

"Sebagai contoh, untuk dinding, saya memilih warna coklat pasir pantai yang dipadankan dengan biru.

"Inspirasi pemilihan warna biru ini diperoleh daripada Pinterest untuk mewujudkan sudut paling menyerlah. Warna sama turut digunakan pada langsir dan kerusi," katanya.

Tambahnya, untuk perabot dia cenderung memilih saiz sederhana dan yang diperlukan sahaja supaya dapat menjimatkan penggunaan ruang.

"Dari segi susun atur, semua perabot dirapatkan ke dinding, supaya tidak menghalang pergerakan dan memberi keselesaan kepada penghuni untuk bergerak," katanya.

Katanya, dalam menata hias kediaman, dia amat mengutamakan keselesaan keluarga dan tetamu yang berkunjung ke kediaman.

RONA biru di bilik tidur anak.
RONA biru di bilik tidur anak.

"Dengan ruang terhad, saya kira minimalis adalah konsep yang bersesuaian untuk kediaman ini. Bak kata pepatah, biarlah ukur baju di badan sendiri.

"Minimalis dan ringkas tidak semestinya tidak cantik. Asalkan anda bijak memanfaatkan ruang yang dapat berikan keselesaan kepada penghuninya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Oktober 2023 @ 7:01 AM