HIASAN dinding menjadikan ruang tamu nampak lebih cantik dan kemas.
HIASAN dinding menjadikan ruang tamu nampak lebih cantik dan kemas.
Muhamaad Razis Ismail


SEBAIK melangkah masuk ke sesebuah rumah, bahagian pertama yang akan dilihat pastinya latar dinding.

Oleh itu, dinding adalah bahagian yang perlu dititikberatkan ketika menata rias ruang kerana mampu memberi impak menarik berdasarkan konsep ingin diketengahkan.

Pengarah bersama HKZ Global, Mohamad Hakim Mohamad Zaini berkata, dinding adalah bahagian paling banyak dilihat dalam rumah.

Katanya, dengan menghias dinding menggunakan sama ada panel, panel dinding (wainscoting), cat atau cermin dapat memberi impak besar untuk sesebuah rumah.

"Melalui hiasan yang dibuat, dinding lama akan nampak lebih cantik dan menarik.

"Pada masa sama, bagi yang ingin mengekalkan atau memperbaharui konsep hiasan dalaman, ia boleh dilakukan dengan menghias dinding menggunakan rekaan bersesuaian," katanya.

Dalam hal ini, Mohamad Hakim menyarankan sebelum hiasan dinding dibuat, pemilik rumah perlu membuat perancangan awal supaya bersesuaian dengan konsep yang ingin diketengahkan.

CERMIN sesuai digunakan sebagai hiasan di ruang makan.
CERMIN sesuai digunakan sebagai hiasan di ruang makan.

"Perancangan ini amat penting untuk mengelakkan kesilapan dalam pemilihan rekaan, warna dan bahan dengan ruang dan konsep.

"Kesilapan ini boleh menyebabkan rumah nampak tidak cantik dan cacamarba kerana bercampur aduk dengan pelbagai konsep. Pada masa sama ia boleh menyebabkan pemilik berdepan kerugian," katanya.

Mengulas lanjut, Mohamad Hakim berkata, pemilihan hiasan di dinding turut bergantung kepada personaliti, jantina dan umur seseorang.

"Perlu diingat, tidak semestinya apa yang dilihat cantik di rumah lain sesuai untuk rumah anda kerana ia bergantung atas beberapa faktor.

"Oleh itu, adalah penting untuk pemilik rumah mengetahui hiasan dinding yang bersesuaian," katanya.

Jelasnya, ini bukan bermaksud semua di dinding perlu dihias kerana ia bergantung kepada konsep dan bajet pemilik rumah.

"Sebagai contoh di ruang tamu, hiasan dinding boleh dibuat di belakang televisyen sahaja untuk dijadikan sebagai titik fokus. Untuk dinding ruang lain anda boleh menggunakan rekaan lain yang lebih bersesuaian," katanya.

Berikut adalah rekaan hiasan dinding mengikut ruang yang boleh dipertimbangkan:

HIASAN dinding perlu disesuaikan dengan konsep yang diketengahkan.
HIASAN dinding perlu disesuaikan dengan konsep yang diketengahkan.

1. Ruang tamu

- Biasanya hiasan dibuat di belakang televisyen dengan menggunakan panel dan ditambah dengan lampu dan kabinet supaya nampak lebih kemas dan menarik. Jika anda mengetengahkan konsep dekorasi Inggeris, penggunaan 'wainscoting'

ruang itu nampak lebih elegan. Bagi yang sukakan konsep ringkas, boleh menggunakan konsep minimalis dan penggunaan warna polos.

2. Dapur

- Dinding dapur jarang dihias dengan menggunakan panel kerana sebahagian besar bahagian itu sudah ditutupi dengan kabinet dapur. Dinding di ruang ini biasanya dihiasi dengan cat warna polos atau menggunakan jubin.

3. Tandas

- Sekiranya pemilik ingin menggunakan panel dan 'shiplap' pasti material yang digunakan tahan air. Untuk hiasan lebih baik, pemilik boleh memilih sama ada menggunakan tekstur simen atau jubin.

4. Bilik tidur

- Kebiasaannya hiasan di dinding dibuat dengan menggunakan panel di kepala katil sahaja supaya menjadi titik tumpuan dan mengecat dengan warna polos. Hiasan dalam bilik tidak perlu dibuat secara berlebihan untuk memberi keselesaan dan ketenangan kepada pemilik.

5. Ruang makan

- Di ruangan ini, pemilik boleh menggunakan panel, cermin, tulisan kaligrafi atau bingkai gambar supaya nampak lebih cantik dan menarik.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Jun 2023 @ 6:30 AM