Aniza Zainudin


WARNA biru firus sering dikaitkan dengan aura menyegarkan, menenangkan, sofistikated, kreativiti, keseimbangan emosi bahkan cinta. Oleh itu pemilihannya sebagai satu elemen tatahias adalah bertepatan.

Memiliki ton yang unik, kombinasi warna biru kehijauan ini perlu sepadan dan sekata bagi mengurangkan penguasaannya dalam satu-satu ruang.

Selalunya warna biru firus ini digabungkan bersama-sama skema warna bumi yang disifatkan ‘selamat’ dan sejuk mata memandang seperti kelabu, coklat, putih dan hijau.

Ini terbukti dengan sentuhan dekorasi kediaman milik pasangan, Nur Hartini Che Anuar, 31 dan suami, Mohd Shamsul Bokhori Muhammad, 35, di Shah Alam apabila bermain dengan skema warna biru firus bersama rona neutral yang lain.

Menyifatkan warna biru kehijauan adalah kegemarannya, Nur Hartini mengakui mempunyai impian untuk menatahias kediaman peribadi menggunakan warna berkenaan bersama konsep moden kontemporari.

“Empat tahun pertama perkahwinan, kami menetap di kuarters. Jadi, proses pengubahsuaian dan tatahias agak terhad, sebaliknya sekadar memenuhi keperluan semasa.

“Penghujung 2016, kami berjaya memiliki rumah sendiri yang sememangnya mempunyai ciri-ciri diingini.

“Perkara pertama yang kami lakukan adalah pembinaan kabinet dapur kerana saya suka memasak dan sering makan di rumah.

“Apabila mempunyai rumah sendiri, jauh lebih mudah untuk kami merancang pengubahsuaian dan dekorasi.

SUNTIKAN taman ala Inggeris.
SUNTIKAN taman ala Inggeris.

“Pastinya, saya memilih warna biru firus sebagai warna utama bagi semua ruang termasuk kabinet dapur. Boleh dikatakan hampir 80 peratus dapur menggunakan warna ini, saya gabungkan bersama warna kelabu bagi ‘table top’.

“Bagi saya, rona kelabu lebih sesuai dijadikan ‘table top’ dapur berbanding putih kerana ia lebih mudah dijaga dan diselenggara.

“Bertanggungjawab merangka reka bentuk kabinet dapur, ia penting bagi memastikan ruang dapat dimanfaatkan sepenuhnya dan tidak menjadi terlalu padat.

“Selalunya saya menjadikan carian Internet terutama Pinterest untuk mengambil idea dan inspirasi sentuhan dekorasi di rumah,” katanya yang turut ditemani suami.

Tertarik dengan idea ruang makan pasangan ini, mereka mewujudkan dua bahagian berbeza dengan fungsi serupa, meja kopi mudah alih dan meja makan.

Dipasang pada dinding, meja kopi boleh dilipat yang diperbuat daripada kayu ini disesuaikan dengan padanan kerusi besi tinggi berwarna hijau lembut.

Menjadi lokasi santapan ketika bersarapan, Nur Hartini menjelaskan, ruang ini turut dianggap satu daripada elemen dekorasi tambahan di sudut berkenaan.

Bagi ruang makan pula, wanita ini ‘meniru’ trend terkini dipanggil ‘kerusi tidak sepadan’ apabila menggabungkan pelbagai jenis kerusi di meja makan.

Demi menyerlahkan lagi ruang ini, pasangan ini kekal dengan sentuhan aksesori hiasan bertemakan warna biru firus berbeza skema seperti alasan meja makan, kusyen kuning sebagai kontra dan pokok hiasan ‘peace lily’.

Sudut yang mencuri tumpuan pastinya ruang tamu kerana ia adalah pusat utama bagi keluarga mahupun kunjungan tetamu bersosial dan bersantai.

Memilih kelabu sebagai warna utama, keputusan ini dianggap bertepatan kerana ia berjaya mewujudkan atmosfera yang menenangkan dan memenuhi konsep moden kontemporari.

Pada masa sama, Nur Hartini tetap mendahulukan penggunaan pelbagai skema warna biru kehijauan untuk perhiasan kecil bagi menaikkan lagi seri di ruang itu.

Selain itu, pasangan ini turut menambah elemen tropika dengan sentuhan pokok hiasan dalam rumah seperti monstera, lidah mentua, heliconia dan peace lily yang berbeza saiz.

Jelas Nur Hartini, kehijauan dalam rumah bukan saja mendamaikan bahkan ia juga menyumbang oksigen segar dan berfungsi sebagai sistem penapisan udara semula jadi.

Bagi menambah ilusi keluasan rumah, penggunaan cat putih dikekalkan malah langsir putih juga menjadi pilihan.

Beralih ke balkoni, idea cuba dizahirkan adalah taman Inggeris apabila menyesuaikan ruang dengan perabot putih bersama rumput tiruan sebagai ‘tanah’.

Mengambil masa kira-kira dua tahun untuk menyempurnakan ‘syurga’ kecil ini, Nur Hartini berkata, setiap proses dekorasi dan pengubahsuaian perlu dirancang sebaiknya.

“Perancangan penting untuk mengelakkan pembaziran dan memudahkan kita mencari perabot atau perhiasan yang diperlukan sahaja.

“Bagi yang masih baru dalam bidang ini seperti saya, disarankan kerap melakukan rujukan menerusi Internet sama ada pilihan konsep menepati cita rasa, jenis perabot, susun atur dan kombinasi warna bersesuaian.

“Menghias rumah adalah satu aktiviti yang sangat menarik kerana kita ingin menikmati keseronokan dan keselesaan di kediaman peribadi.

“Paling penting, pilihan konsep perlu menepati cita rasa individu bukan sekadar mengikuti trend semasa. Ini kerana keselesaan perlu diutamakan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2019 @ 9:02 PM