MEMANFAATKAN keluasan ruang.
MEMANFAATKAN keluasan ruang.
Hartini Mohd Nawi


Bornstein Lyckefors Architects membina kabin merah sebagai tempat percutian ideal seisi keluarga di Sweden.

Lantai kayunya bercirikan tradisional Sweden. Terletak di pinggir ladang di pantai barat Sweden kediaman itu menyediakan suasana tenang lagi mendamaikan yang jauh dari kesibukan kota.

Dinamakan Spackhuggaren, ia dibina di atas tapak gerai dan gudang ladang abad ke-19 yang musnah dalam kebakaran.

Idea pembinaan bangunan yang sederhana turut dibuktikan menerusi pembentukan rangka kayu, dilitupi pula dengan papan kayu memanjang dan nipis.

Permukaan kayu itu pula kemudian dicat dengan warna merah terang.

“Bahagian luar dicat merah tradisional Sweden yang sering digunakan di kebanyakan kediaman luar bandar.

“Kami menggunakannya untuk memberi penghormatan kepada gudang lama pada abad ke-19,” kata pengasas bersama Bornstein Lyckefors Architects, Andreas Lyckefors.

Ciri lain yang memberi memperlihatkan nilai estetika kabin itu adalah pintu besar gaya ‘gudang’ yang terbuka.

Pintu besar itu secara jelas mendedahkan tingkap besar dengan pemandangan unik dari ruang tamu.

Sama dengan bahagian luar, ruang dalaman kediaman termasuk kabinet dapur turut menjadikan kayu palet sebagai material utama.

Malah reka letak ruang juga direka khas untuk keselesaan untuk keluarga dan tetamu berkumpul dalam suasana privasi.

Dibina tiga tingkat selain diimbangi bilik loteng kecil yang secara langsung menawarkan pemandangan menarik dari lantai dan pengaliran udara serta pencahayaan semula jadi.

Di tingkat bawah, lounge, dapur dan ruang makan terbuka disatukan serta berada di sebelah barat.

Tangga khas berasaskan papan lapis pula menghubungkan setiap tingkat dengan ruang lain termasuk dua bilik tidur kanak-kanak.

Sementara tingkat paling atas, biarpun berkeluasan terhad, ia selari kedudukannya dengan ruang tamu di tingkat bawah selain mempunyai sebuah bilik tidur.

Tidak hanya kabin merah itu yang menjadi idea Bornstein Lyckefors Architects, malah turut merancang sebuah pembinaan sebagai penghormatan kepada petani di Finland.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 November 2017 @ 7:27 AM