PANDUAN dikeluarkan PLUS untuk pengguna lebuh raya. FOTO ihsan PLUS
PANDUAN dikeluarkan PLUS untuk pengguna lebuh raya. FOTO ihsan PLUS
Suraya Roslan


PENGGUNA Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) hanya dibenarkan berhenti rehat dalam kenderaan masing-masing apabila tiba di kawasan rehat dan rawat (R&R), hentian sebelah atau plaza tol.

Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) Datuk Azman Ismail berkata, selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), pengguna hanya dibenarkan keluar dari kenderaan untuk menggunakan kemudahan tandas awam saja.

"PLUS ingin mengingatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi garis panduan penjarakan sosial ketika beratur bagi menggunakan tandas awam di R&R dan hentian sebelah. Semua surau juga masih ditutup dan tiada kemudahan pembelian makanan serta minuman disediakan sepanjang tempoh Gerak Malaysia.

"Sepanjang tempoh empat hari itu juga, stesen minyak di lebuh raya PLUS akan beroperasi dalam tempoh terhad bermula jam 6 pagi hingga 12 tengah malam saja," katanya.

Menurutnya, PLUS menjangkakan lebih 300,000 kenderaan yang memohon menerusi aplikasi Gerak Malaysia akan menggunakan lebuh raya itu bermula esok hingga 10 Mei.

"Polis memaklumkan pergerakan secara berperingkat ini akan berjalan selama empat hari iaitu hari pertama (esok) pemohon Gerak Malaysia dari Kuala Lumpur ke destinasi masing-masing.

"Bagi 8 Mei pula membabitkan perjalanan dari Perak, Johor dan Kelantan manakala keesokannya (9 Mei) bagi mereka yang berada di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Melaka dan Pahang," katanya.

Menurutnya, bagi perjalanan pada 10 Mei membabitkan mereka yang terkandas di Selangor, Negeri Sembilan dan Terengganu.

"Kami sangat prihatin dan mengambil berat terhadap keselamatan dan keselesaan orang ramai ketika melakukan perjalanan di lebuh raya sepanjang tempoh Gerak Malaysia ini.

"PLUS juga melaksanakan SOP selaras dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia sejak PKP fasa pertama dilaksanakan, 18 Mac lalu," katanya.

Azman berkata, setiap pemandu dinasihatkan mengamalkan penjarakan sosial dengan memastikan baki mencukupi dalam kad Touch 'n Go masing-masing sebelum memasuki lebuh raya.

"Ini kerana semua urusan tambah nilai kad Touch 'n Go menerusi pembantu khidmat pelanggan di lorong tol tidak lagi dibenarkan bagi mengurangkan risiko penularan Covid-19.

"Kita menasihatkan orang ramai supaya membuat urusan tambah nilai di stesen minyak, kiosk layan diri (SSK), kedai serbaneka, mesin ATM dan lain-lain lokasi yang disediakan di seluruh negara. Sila rujuk lokasi SSK dan tambah nilai terdekat dengan melayari www.touchngo.com.my," katanya.

Azman berkata, perkhidmatan rondaan di lebuh raya, PLUSRonda juga disediakan 24 jam setiap hari untuk menjaga keselamatan dan memberi bantuan kepada pelanggan.

"Ketika perjalanan Gerak Malaysia, orang ramai turut dinasihat menggunakan aplikasi Waze atau Google Map untuk mengelakkan kesesakan di lebuh raya selain mendapatkan maklumat trafik menerusi papan tanda elektronik yang disediakan di lokasi strategik sepanjang 1,131.4 kilometer lebuh raya PLUS," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mei 2020 @ 8:39 PM