BERNAMA

Kuala Lumpur: Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) menjangkakan rasionalisasi subsidi bahan api diesel tidak akan menjejaskan kecekapan operasi, garis masa projek, penyampaian perkhidmatan atau asas kosnya.

Dalam satu kenyataan, pemaju hartanah itu mengakui bahawa pengumuman dalam perubahan dasar menimbulkan pertanyaan dalam kalangan pihak-pihak berkepentingan mengenai potensi kesan ke atas operasi perniagaan kumpulan dan kos operasi pada masa hadapan.

"MRCB secara konsisten menggunakan bahan api diesel pada kadar komersial untuk semua projek pembangunan dan pembinaannya, termasuk yang diuruskan oleh subkontraktor.

"Oleh itu, pemansuhan subsidi bahan api diesel tidak akan menjejaskan kecekapan operasi, garis masa projek, penyampaian perkhidmatan atau asas kos kami," katanya.

Kumpulan itu turut memberi jaminan kepada semua pihak berkepentingan bahawa MRCB kekal komited untuk menyampaikan produk dan perkhidmatan yang berkualiti tinggi pada harga yang kompetitif.

"MRCB secara sepenuh hati menyokong inisiatif kerajaan untuk merasionalisasikan subsidi sebagai sebahagian daripada pembaharuan ekonomi yang lebih luas yang diperlukan untuk memupuk pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan mampan dalam jangka panjang," katanya sambil menambah ia yakin langkah itu adalah kritikal dan akan menyumbang kepada kemakmuran untuk semua rakyat Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2024 @ 3:14 PM