Abd Rashid (tengah) bergambar dengan pengusaha dan pemandu bas sekolah selepas merasmikan Mesyuarat Agung Pertubuhan Persatuan-Persatuan Bas Sekolah Semenanjung Malaysia di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat, Johor. FOTO Zain Ahmed
Abd Rashid (tengah) bergambar dengan pengusaha dan pemandu bas sekolah selepas merasmikan Mesyuarat Agung Pertubuhan Persatuan-Persatuan Bas Sekolah Semenanjung Malaysia di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat, Johor. FOTO Zain Ahmed
Ibrahim Isa


PERTUBUHAN Persatuan-Persatuan Bas Sekolah Semenanjung Malaysia sebulat suara tidak akan menaikkan harga tambang perkhidmatan itu seperti diperkatakan sebelum ini, sebaliknya merayu kerajaan memberikan subsidi diesel dan petrol pada kadar sama seperti syarikat perkhidmatan bas lain bagi memastikan pengusaha tidak menanggung kerugian.

Pengerusinya, Ahmad Fauzi Murad berkata, hasil Mesyuarat Agung Pertubuhan Persatuan-Persatuan Bas Sekolah Semenanjung Malaysia di Pulai, Johor, hari ini, semua ahli sebulat suara bersetuju tidak akan menaikkan harga tambang seperti mana diperkatakan sebelum ini.

"Kami sedar dan faham masalah dihadapi ibu bapa selama ini serta memberi jaminan tidak akan menaikkan harga tambang kerana ia akan menambah beban mereka.

"Bagaimanapun, kami (pengusaha bas sekolah) merayu kepada kerajaan supaya memberikan beberapa bantuan seperti subsidi petrol dan diesel serta rebat RM10,000 ke atas pembelian bas baru bagi mengurangkan beban kami.

"Pengendali bas Rapid KL diberikan subsidi bahan api istimewa dengan hanya membeli diesel RM1 seliter, nelayan dengan harga RM1.20 seliter untuk diesel dan petrol sedangkan kami terpaksa membeli setiap liter diesel pada harga RM1.88," katanya ketika ditemui pada Mesyuarat Agung Pertubuhan Persatuan-Persatuan Bas Sekolah Semenanjung Malaysia di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat, Johor, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Ahli Parlimen Pulai, Datuk Abd Rashid Kasman sebagai wakil Datuk Nur Jazlan Mohamed yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri.

Ahmad Fauzi berkata, selain itu pihaknya tidak mendapat sebarang subsidi untuk pembelian petrol sedangkan ramai pengusaha beralih kepada enjin yang menggunakan bahan bakar itu kerana dikatakan lebih bagus untuk alam sekitar.

Katanya, pemberian subsidi kepada semua pengusaha bas dapat mengurangkan beban ditanggung mereka kerana berdepan pelbagai kenaikan harga barang hampir setiap tiga bulan.

"Kami berharap kerajaan akan menimbangkan permintaan kami berkaitan subsidi bahan api serta memperkenalkan semula rebat RM10,000 untuk pembelian bas baru seperti diumumkan pada 2012 dan berkuat kuasa setahun kemudian.

"Menerusi rebat RM10,000 itu, pengusaha dapat penjimatan setiap kali menukar bas yang berusia 30 tahun ke atas sekali gus menjimatkan penggunaan bahan api kerana bas baru dan memberi keselesaan serta keselamatan kepada semua pelajar," katanya.

Sementara itu, Abd Rashid berterima kasih kepada Pertubuhan Persatuan-Persatuan Bas Sekolah Semenanjung Malaysia yang berjanji tidak akan menaikkan harga tambang dan berharap kerajaan dapat membantu mereka dengan memberikan subsidi diperlukan.

"Mereka sudah berjanji tidak akan menaikkan harga tambang dan sebagai kerajaan yang adil, kita perlu membantu mereka mengurangkan kos operasi dengan memberikan subsidi bahan api kepada mereka kerana mereka mengekalkan tambang untuk membantu ibu bapa.

"Saya yakin, dengan cara ini semua pengusaha dapat membantu mengekalkan harga perkhidmatan dan pada masa sama meningkatkan prestasi terutama dalam aspek keselamatan kepada pelajar dan murid yang menggunakan perkhidmatan mereka," katanya.

Seramai 18,000 pengusaha bas sekolah di Malaysia membabitkan lebih 180,000 bas yang memberikan perkhidmatan kepada pelajar sekolah menengah, rendah dan tadika di seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Disember 2017 @ 3:51 PM