SULAIMAN
SULAIMAN
Mahanum Abdul Aziz

Kuala Lumpur: AmBank Group berada dalam landasan kukuh untuk mencapai sasarannya menjadi antara empat bank terbesar di negara ini menjelang 2020.

Ketika ini, kumpulan perbankan itu adalah bank kelima terbesar dari segi aset di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya Datuk Sulaiman Mohd Tahir berkata, pihaknya optimis akan mencapai sasaran berdasarkan prestasi kewangan memberangsangkan dicatatkan setakat ini.

Justeru, katanya, kumpulan perbankan itu akan meneruskan tumpuan dalam empat strategi utamanya iaitu syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS), korporat-pertengahan, mewah dan mewah massa.

“Setakat ini, kami melihat peningkatan dalam segmen utama kami. Dengan langkah pengurusan kos yang baik, kami jangka akan mencatatkan keuntungan yang lebih baik,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat agung tahunan AMMB Holdings Bhd di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan AmBank Group, Jamie Ling.

Sulaiman berkata, AmBank Group juga akan terus melabur dalam mempertingkatkan lagi pendigitalan produk dan penyelesaiannya.

Beliau berkata, pihaknya akan memperkenalkan produk digital, e-dompet bulan depan bagi memudahkan pelanggannya membuat urus niaga tanpa kad.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Ogos 2018 @ 11:39 AM