Johari Abdul Ghani.
Johari Abdul Ghani.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani akan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesir dan Turkiye untuk lawatan kerja dari 27 Mei hingga 1 Jun 2024.

Beliau juga dijadual merasmikan Forum Minyak Sawit Malaysia Mesir 2024 di Kaherah pada 28 Mei.

Dalam kenyataan pada Ahad, Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) menjelaskan forum oleh Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) itu bertujuan meneroka potensi pertumbuhan untuk minyak sawit di rantau Afrika Utara.

Beliau dijangka menekankan peningkatan permintaan global untuk minyak masak dan derivatifnya serta komitmen Malaysia terhadap pengeluaran minyak sawit yang mampan pada forum itu.

Selain itu, Johari akan bertemu Menteri Perdagangan dan Perindustrian serta Menteri Bekalan dan Perdagangan Domestik Mesir untuk memperkukuh kerjasama dua hala serta kalangan ketua perniagaan dalam industri minyak sawit.

MPOF 2024 akan disusuli oleh lawatan ke Turkiye, dengan Johari akan bertemu Menteri Perdagangan negara itu pada 31 Mei, untuk mengenal pasti peluang perniagaan baharu dalam sektor minyak sawit antara Malaysia dan Turkiye.

"Turkiye ialah destinasi penting untuk eksport minyak sawit Malaysia, menjadikan pertemuan ini amat penting bagi Malaysia," menurut KPK.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2024 @ 12:29 PM