NK Tong pada taklimat media mengenai Tinjauan Industri Hartanah Rehda Bagi Separuh Kedua 2023 dan Tinjauan Pasaran untuk 2024 di Wisma Rehda, Kelana Jaya. FOTO Aziah Azmee
NK Tong pada taklimat media mengenai Tinjauan Industri Hartanah Rehda Bagi Separuh Kedua 2023 dan Tinjauan Pasaran untuk 2024 di Wisma Rehda, Kelana Jaya. FOTO Aziah Azmee
Sri Ayu Kartika Amri

Petaling Jaya: Pasaran hartanah dijangka akan berdepan peningkatan harga bagi separuh pertama tahun ini berikutan kenaikan berterusan dalam kos bahan binaan utama.

Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) Malaysia, Datuk NK Tong berkata, pihaknya mendapati 91 peratus pemaju menyatakan mengalami kenaikan kos bahan binaan lebih tinggi tahun lalu.

Katanya, berdasarkan tinjauan yang dibuat membabitkan 152 pemaju daripada lebih 1,500 ahli Rehda di Semenanjung Malaysia, ia mendapati 10 peratus daripadanya melaporkan kenaikan lebih 10 peratus secara purata tahun lalu bagi pasir dan konkrit.

"Bagi separuh pertama 2024, pemaju menjangkakan secara purata harga bahan binaan akan meningkat sebanyak 15 peratus yang akan memberi kesan kritikal terhadap operasi perniagaan mereka.

"Kesan ini juga dilihat sebagai isu berterusan disebabkan impak pandemik Covid-19 dan ia tidak menunjukkan tanda akan hilang dalam tempoh terdekat.

"Akhirnya, peningkatan bahan binaan bermakna kos pembinaan yang lebih tinggi, yang akhirnya merugikan rakyat.

"Kami berharap isu ini dapat ditangani dengan berkesan dan semua pemain industri akan memainkan peranan mereka untuk memastikan rakyat Malaysia tidak terus terjejas dengan kenaikan ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada taklimat media mengenai Tinjauan Industri Hartanah Rehda Bagi Separuh Kedua 2023 dan Tinjauan Pasaran untuk 2024 di sini, hari ini.

Menurutnya, tinjauan industri hartanah juga merekodkan bahawa responden bersikap neutral terhadap prospek perniagaan dan industri hartanah untuk separuh pertama 2024.

Beliau berkata, untuk separuh kedua tahun ini, ia menunjukkan bahawa responden dan pemaju secara amnya masih yakin bahawa pasaran akan bertambah baik.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mac 2024 @ 4:05 PM