FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), akan memindahkan sistem operasinya ke sistem baharu, selaras dengan objektif untuk meningkatkan pengalaman pelaburan kepada pelaburnya.

Justeru, semua urus niaga unit amanah dan perkhidmatan lainnya akan ditangguhkan sementara bermula pada 4 hingga 7 Jun 2022.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif ASNB, Mohammad Hussin berkata, langkah strategik untuk migrasi ke sistem baharu perlu dilaksanakan bagi menyediakan sokongan teknologi lebih mudah dan moden supaya ASNB dapat memperkenalkan produk dan perkhidmatan yang lebih terkini.

Katanya, inisiatif ini diharapkan dapat meningkatkan pengalaman pelaburan kepada pelabur kami di semua saluran pada masa hadapan.

"Pelabur ASNB perlu merancang keperluan tunai lebih awal dan membuat transaksi pelaburan atau pengeluaran sebelum tarikh penangguhan untuk mengelakkan sebarang kesulitan ketika penangguhan ini berlangsung.

"Bagi mereka yang ingin membuat dua pengeluaran dalam talian, buatlah urus niaga seawal yang mungkin supaya wang terbabit dapat dikreditkan sebelum tarikh penangguhan," katanya dalam kenyataan.

Syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) itu berkata, bagi memudahkan pelaksanaan migrasi terbabit, tarikh urus niaga terakhir untuk semua unit amanah adalah pada 3 Jun 2022 kecuali bagi ASN Equity 5, ASN Equity Global, ASN Imbang 3 Global dan ASN Sara 2 yang berakhir lebih awal iaitu pada 2 Jun 2022.

Penangguhan urus niaga ini membabitkan semua unit amanah ASNB di semua saluran ASNB iaitu kaunter cawangan ASNB dan ejen seluruh negara serta saluran elektronik dan dalam talian termasuk portal dan aplikasi myASNB, perbankan internet ejen iaitu Maybank2u, CIMB Clicks, RHBNow, Affinonline, AmOnline dan HLB Connect, mesin kiosk di cawangan ASNB serta Mesin Juruwang Automatik (ATM) di Maybank dan CIMB Bank.

Urus niaga di semua saluran iaitu kaunter dan platform dalam talian akan dibuka semula pada 8 Jun 2022.

Sementara itu, pengeluaran secara dalam talian hanya boleh dilakukan menerusi portal www.myasnb.com.my dan aplikasi myASNB dengan had maksimum sebanyak RM2,000 atau pengeluaran tiga kali dalam sebulan.

Urus niaga pengeluaran dalam talian yang berjaya dilaksanakan akan dikreditkan ke dalam akaun bank pelabur yang didaftarkan dengan ASNB pada hari bekerja berikutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mei 2022 @ 8:20 AM