MENTERI Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu (kanan) bersama Tengku Ahmad Badli  pada majlis pelancaran CDC Tunjong.
MENTERI Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu (kanan) bersama Tengku Ahmad Badli pada majlis pelancaran CDC Tunjong.

Kuala Lumpur: Agrobank memperkenalkan Pusat Pembangunan Komuniti (CDC) yang pertama berteraskan pembangunan masyarakat luar bandar sebagai hab inovasi pertanian, pendidikan dan pembabitan komuniti setempat di RTC Tunjong.

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, inisiatif ini selaras dengan aspirasi kerajaan dalam memastikan rakyat terutamanya kumpulan tumpuan mendapat maklumat bertujuan untuk pembangunan kendiri serta akses yang pantas dan mudah serta yang memberi manfaat khususnya kepada komuniti sektor pertanian.

"Perasmian CDC Agrobank merupakan komitmen kami terhadap pertumbuhan pertanian yang mampan.

"Ia adalah manifistasi dedikasi kami untuk memperkasakan komuniti tempatan, memupuk inovasi, dan menyumbang kepada kemakmuran jangka panjang sektor pertanian," katanya dalam kenyataan.

RTC Tunjong yang dimiliki oleh Fama merupakan kompleks pasar borong yang dihuni oleh 807 peruncit.

Pembangunan pusat ini berperanan sebagai salah satu inisiatif untuk mencapai misi Agrobank 'Memperkasakan Pertanian Melangkaui Perbankan.'

CDC menyediakan maklumat mengenai geran, subsidi dan peluang pembiayaan serta akses sumber kewangan yang penting untuk pembangunan projek pertanian.

CDC juga menyediakan perkhidmatan pembangunan modal insan dalam mengintegrasikan petani dan teknologi untuk meningkatkan kecekapan yang merangkumi penggunaan alat pertanian khusus, perisian pengurusan ladang dan peranti Internet benda (IoT).

Ia juga menyokong pembangunan mampan dalam peyampaian faedah ekonomi, sosial dan alam sekitar untuk mewujudkan nilai perniagaan yang besar seperti Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dan kerjasama dengan agensi kerajaan dan NGO.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 January 2024 @ 9:47 AM