DR Ronald (dua dari kiri) bertanya sesuatu kepada kakitangan AgroBank cawangan Beluran selepas merasmikan pembukaan cawangan bank itu, semalam.
DR Ronald (dua dari kiri) bertanya sesuatu kepada kakitangan AgroBank cawangan Beluran selepas merasmikan pembukaan cawangan bank itu, semalam.
Hazsyah Abdul Rahman


Beluran: Agrobank membuka cawangan yang ke-139 di Pekan Beluran bagi memberi perkhidmatan perbankan kepada masyarakat di luar bandar.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, pihaknya memahami permasalahan yang dihadapi penduduk, lebih-lebih lagi di Parlimen Beluran yang terpaksa ke bandar Sandakan untuk mendapatkan perkhidmatan perbankan.

Menurutnya, jarak perjalanan ke bandar itu sejauh 82 kilometer dan keadaan itu ternyata menyukarkan masyarakat setempat.

"Saya yakin, pembukaan Agrobank Cawangan Beluran ini adalah sesuatu yang amat dinanti-nantikan.

"Menerusi cawangan Agrobank di sini, diharapkan kegiatan ekonomi penduduk juga dapat dipertingkatkan terutamanya melalui kemudahan pembiayaan yang holistik dan mampan.

"Besar harapan saya agar dengan potensi ekonomi yang besar di Beluran, Agrobank dapat menjadi sebahagian daripada komuniti di Beluran dan bersama-sama membantu penduduk di sini meningkatkan kemajuan sektor ekonomi khususnya sektor pertanian," katanya ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Agrobank Beluran, di Pekan Beluran di sini, semalam.

Beliau berkata, kerajaan melalui Agrobank akan terus membantu dalam pembangunan sektor mikro dengan menawarkan pembiayaan mikro sehingga RM75,000 tanpa kadar keuntungan bagi tempoh enam bulan pertama berserta kemudahan moratorium sehingga enam bulan pada tahun 2022.

"Ini menunjukkan kerajaan sentiasa komited untuk membantu usahawan mikro di luar sana.

"Namun, usaha ini perlu dilaksanakan bersama-sama dengan semua pihak termasuk pembabitan pihak swasta.

Sementara itu, Penanggung Tugas Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Khadijah Iskandar berkata, cawangan Agrobank di Beluran mempunyai potensi yang besar dalam membantu mengukuhkan ekonomi setempat.

Menurutnya, ini kerana kewujudan kegiatan pertanian di daerah itu yang unik.

"Kami komited dan optimis mampu membantu meningkatkan pertumbuhan ekonomi setempat menerusi produk dan perkhidmatan yang ditawarkan Agrobank kerana ia meliputi semua proses di sepanjang rantaian nilai pertanian.

"Sebagai sebuah bank yang bertanggungjawab untuk memajukan pembangunan sektor pertanian menerusi pembiayaan yang menyeluruh, ini menunjukkan, pembukaan Agrobank di sini adalah sangat tepat.

"Sebelum ini, penerima pembiayaan ini terpaksa ke Sandakan dengan jarak perjalanan yang jauh untuk mendapatkan perkhidmatan perbankan," katanya.

Menurutnya, pihaknya berharap, pembukaan cawangan itu akan membantu komuniti setempat untuk berjaya dalam sektor pertanian menerusi perkhidmatan perbankan yang ditawarkan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Disember 2021 @ 7:03 AM