FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kedudukan kewangan Agrobank yang merupakan syarikat milik Menteri Kewangan (Diperbadankan) bagi 2018 hingga 2021 adalah stabil dan berkemampuan membayar dividen kepada kerajaan setiap tahun.

Menurut Jabatan Audit, sumber dana pendeposit yang digunakan bagi tujuan pembiayaan telah menjana keuntungan sebanyak 55.9 peratus daripada keseluruhan pendapatan Agrobank pada 2020.

"Manakala sumber dana daripada geran dan pembiayaan kerajaan telah digunakan mengikut tujuan," katanya dalam Laporan Ketua Audit Negara 2020 Siri 1 yang dikeluarkan hari ini.

Laporan itu juga turut menyatakan Agrobank telah mencapai objektif penubuhannya melalui aktiviti pembiayaan bagi pembangunan sektor pertanian yang dimandatkan.

Katanya, pencapaian output petunjuk prestasi utama (KPI) telah melebihi tahap minimum 80 peratus yang ditetapkan Menteri Kewangan (Diperbadankan) iaitu di antara 93 peratus hingga 98.6 peratus.

Namun, sumbangan pembiayaan dimandatkan yang direkodkan melebihi 80 peratus berbanding sasaran 70 peratus mengambil kira pembiayaan peribadi sebenarnya tidak menjelaskan pembiayaan yang dibuat bagi tujuan pertanian.

Perkara ini berdasarkan aktiviti pembiayaan tertinggi Agrobank iaitu pembiayaan peribadi Agrocash yang tidak mewajibkan permohonan bagi tujuan membiayai aktiviti pertanian.

Pembiayaan bagi pembelian tanah yang tidak diusahakan berkaitan dengan aktiviti pertanian juga tidak menyumbang kepada pembangunan sektor pertanian negara, katanya.

"Nisbah pembiayaan terjejas kasar menunjukkan peningkatan pada setiap tahun. Kadar pembiayaan terjejas produk Agrocash yang rendah memberi impak kepada prestasi keseluruhan pembiayaan terjejas Agrobank," katanya.

Oleh itu, Jabatan Audit mengesyorkan Agrobank mengkaji serta menilai semula objektif dan tujuan pembiayaan peribadi dengan jelas supaya pembiayaan ini dapat menyumbang kepada kemajuan sektor pertanian secara keseluruhannya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mac 2022 @ 3:52 PM