SEBANYAK 187 permohonan  diluluskan Agrobank di Pahang di bawah program DPAKM dan DPA2 dengan jumlah pembiayaan keseluruhan bernilai RM41 juta.
SEBANYAK 187 permohonan diluluskan Agrobank di Pahang di bawah program DPAKM dan DPA2 dengan jumlah pembiayaan keseluruhan bernilai RM41 juta.

AGROBANK menyampaikan replika cek berjumlah RM41.01 juta kepada wakil penerima Pembiayaan Agromakanan Keluarga Malaysia (DPAKM) dan Dana Pembiayaan Agromakanan 2 (DPA2) peringkat negeri Pahang.

Penyerahan replika cek disampaikan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank Tengku Ahmad Badli Shah berkata, setakat 15 Oktober 2022, Agrobank menerusi pejabat Wilayah Pahang telah menerima 304 permohonan DPAKM dengan nilai RM75 juta.

"Daripada jumlah ini, sebanyak 187 permohonan diluluskan di bawah program DPAKM dan DPA2 dengan jumlah pembiayaan keseluruhan bernilai RM41 juta.

"Kami kini sedang memproses pembiayaan daripada dana ini dan dijangka diluluskan pada tahun ini," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, pelaksanaan program DPAKM dan DPA2 yang diperuntukkan sebanyak RM1 bilion di bawah Agrobank ini dilaksanakan bagi menjamin kesinambungan aktiviti pengeluaran makanan negara sekali gus memperkasakan sektor pengeluaran makanan.

"Menerusi program ini, Agrobank berharap agar ia dapat dimanfaatkan lebih ramai usahawan di seluruh negara.

"Apa yang menariknya program DPAKM ini menawarkan tempoh pembiayaan yang kompetitif sehingga 8.5 tahun dengan kadar keuntungan serendah 3.0 peratus.

"Selain daripada itu, bagi tempoh enam bulan pertama, Agrobank turut memberikan moratorium secara automatik pada kadar keuntungan sebanyak 0 peratus dan ini bermakna pelanggan akan dikenakan kadar keuntungan serendah 3.0 peratus hanya pada bulan ketujuh pembiayaan dan seterusnya," katanya.

Menurutnya, selain program pembiayaan lain di bawah DPAKM ini, Agrobank turut menawarkan Program Pemulih NewBiz yang merupakan antara inisiatif berterusan Agrobank dalam memainkan peranannya sebagai sebuah Institusi Kewangan Pembangunan (IKP) dalam sektor pertanian.

"Ini bagi memenuhi tanggungjawab 'melangkaui perbankan' dengan menawarkan pelbagai kemudahan yang dapat membantu komuniti terpinggir dan tidak mendapat liputan seperti asnaf selain menyokong individu yang tidak mempunyai pekerjaan namun sentiasa mencari peluang baharu untuk menjana pendapatan, sekali gus meningkatkan taraf sosio-ekonomi diri dan keluarga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Oktober 2022 @ 7:05 AM