PADU bantu pembentukan dasar lebih komprehensif.
PADU bantu pembentukan dasar lebih komprehensif.
Mahanum Abdul Aziz

PELANCARAN Pangkalan Data Utama (Padu) memberi potensi kukuh peralihan subsidi pukal kepada lebih bersasar termasuk petrol, diesel dan makanan, kata penganalisis.

Affin Hwang Investment Bank berpendapat, dengan pelancaran Padu, kerajaan dijangka melaksanakan program subsidi bersasar bagi harga petrol runcit pada separuh kedua 2024.

Ia berkata, sistem Padu mewakili anjakan penting ke arah memusatkan dan menyepadukan data daripada semua kementerian dan agensi.

Katanya, sebelum ini, setiap kementerian dan agensi mengekalkan pangkalan data berasingan yang mengehadkan keupayaan kerajaan untuk memahami keadaan sosioekonomi dengan tepat dan menggubal dasar awam yang berkesan.

Jelasnya, pangkalan data yang komprehensif membolehkan kerajaan memahami dengan lebih baik dinamik sosioekonomi dari pelbagai perspektif.

"Contohnya, isi rumah yang mempunyai tahap pendapatan yang sama mungkin mempunyai keperluan yang berbeza berdasarkan faktor seperti saiz isi rumah, yang di bawah sistem semasa, mungkin ia tidak disedari memandangkan data pendapatan data berada dalam Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) manakala data saiz isi rumah diuruskan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).

"Beberapa maklumat lain boleh diambil dalam sistem Padu, termasuk lokasi, jarak ke tempat kerja, pemilikan aset dan lain-lain, yang boleh menangani maklumat asimetri dalam kalangan kementerian dan agensi, memudahkan pembentukan dasar yang lebih komprehensif," katanya dalam nota penyelidikannya.

Affin Hwang Investment Bank berkata, dengan jangkaan pelaksanaan program subsidi yang disasarkan untuk harga runcit petrol domestik pada separuh kedua 2024, pihaknya percaya harga petrol gred RON95 yang lebih tinggi mungkin diterjemahkan kepada peningkatan beransur-ansur tekanan inflasi terhadap ekonomi dari separuh kedua 2024, termasuk beberapa limpahan kesan kepada barangan dan perkhidmatan lain selepas pelarasan.

Ia berkata, berdasarkan anggarannya, wajaran RON95 dalam bakul Indeks Harga Pengguna (IHP) menyumbang hampir kira-kira 7.2 peratus, wajaran tinggi antara barangan di bawah program subsidi bersasar dalam bakul IHP.

"Kami percaya kerajaan akan menghapuskan subsidi RON95 secara berperingkat sepanjang tempoh masa, dengan inflasi keseluruhan akan berada dalam julat unjuran rasmi antara 3.0 peratus hingga 3.5 peratus pada 2024," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 January 2024 @ 7:01 AM