ONG (kiri) bersama Soam (dua dari kiri) merasmikan pejabat MCKIP Kuala Lumpur, semalam.
ONG (kiri) bersama Soam (dua dari kiri) merasmikan pejabat MCKIP Kuala Lumpur, semalam.
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP) dijangka mampu menarik pelaburan bernilai RM10 bilion pada tahun ini.

Pengerusi MCKIP Sdn Bhd Datuk Soam Heng Choon berkata, projek ikon yang menjadi tanda kekukuhan perdagangan dua hala Malaysia-China itu juga terus menarik minat pelabur asing dan tempatan.

Menurutnya, setakat ini, MCKIP sudah memperoleh jumlah pelaburan terjamin RM19 bilion sejak 2013.

“Kemajuan pembangunan di MCKIP juga berjalan pada kadar memberangsangkan dan bagi 2016, MCKIP berjaya menarik pelaburan berjumlah RM5.6 bilion yang dijangka mencipta lebih 24,000 peluang pekerjaan untuk komuniti setempat.

“Ramai bakal pelabur menunjukkan minat terhadap MCKIP dan pada tahun ini, kami yakin dapat meningkatkan lagi pelaburan,” katanya kepada media selepas pelancaran pejabat baru MCKIP, semalam.

Majlis perasmian itu disempurnakan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II Datuk Seri Ong Ka Chuan.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur Datuk Seri Jebasingam Issace John dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) Datuk Dzulkifli Mahmud.

Beliau berkata, pihaknya menjangkakan pelaburan untuk tahun ini membabitkan industri berat dan sederhana serta logistik.

Menurutnya, projek daripada industri berat akan mewujudkan kesan limpahan terhadap ekonomi yang akan menyediakan peluang kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia.

Beliau berkata, fasa pertama kilang keluli berkapasiti 3.5 juta tan metrik yang kini dibangunkan di taman perindustrian itu dijangka beroperasi akhir tahun ini.

“Kilang dengan pelaburan RM5.6 bilion itu dibangunkan oleh pelabur perintis dan terbesar MCKIP, Alliance Steel (M) Sdn Bhd,” katanya.

MCKIP Sdn Bhd, pemaju induk MCKIP adalah usaha sama 51:49 antara konsortium Malaysia dan China. Konsortium Malaysia adalah perkongsian awam-swasta terdiri daripada IJM Land Bhd, Sime Darby Property Bhd dan kerajaan negeri Pahang yang diwakili Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang dan Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang.

Konsortium China pula diterajui oleh konglomerat milik negara Guangxi Beibu Gulf International Port Group dan Qinzhou Investment Development Co Ltd.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 January 2017 @ 7:43 AM